Punca penjawat awam enggan lapor rasuah

0
721

Oleh Arrazaq Nazri


KUALA LUMPUR – Bimbang dianggap pengkhianat dan keselamatan diri merupakan antara punca kakitangan awam tidak melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

Jais berkata, walaupun ganjaran yang ditawarkan sebagai pemberi maklumat atau whistleblower agak lumayan tetapi pemberi maklumat dipercayai masih belum berasa yakin untuk berbuat demikian.

“Penjawat awam perlu diyakinkan bahawa tindakan mereka melaporkan tentang rasuah adalah rahsia dan masa depan mereka tidak terjejas.

“Bila jaminan ini ada barulah mereka akan tampil ke hadapan sebagai pemberi maklumat,”kata beliau ketika dihubungi Bebasnews di sini.

Jais berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki bahawa penjawat awam memainkan peranan penting sebagai pemberi maklumat kepada Suruhanjaya itu dalam mendedahkan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa di jabatan atau agensi masing-masing bagi menjamin ketelusan dan integriti dalam sektor awam.

Azam dalam kenyataannya di sini hari ini menyeru kepada penjawat awam agar ‘membuka mata dan telinga’ dengan menyalurkan maklumat kepada SPRM kerana mereka lebih mengetahui apa yang berlaku di jabatan atau agensi masing-masing.

Mengulas lanjut Jais berkata, saranan SPRM itu tepat pada masanya tetapi apa yang menjadi persoalan utama adalah masa depan pemberi maklumat tersebut.

“Pertama, rakan-rakan akan memberikan tanggapan pengadu adalah pengintip SPRM dan kedua, pengadu risau tentang masa depan mereka di jabatan tersebut menjadi kelam kerana tanggapan yang diberikan oleh pegawai atasan mereka.

“Bagi mengatasi masalah ini, SPRM ada beberapa pilihan seperti pindah ke jabatan lain atau diberi identiti baharu untuk menjalani kehidupan lebih selamat lagi,” kata beliau lagi.

Jais juga berkata, pemberi maklumat sepatutnya mengambil peluang untuk mendapatkan ganjaran yang diberikan kepada maklumat rasuah bernilai tinggi.

Bagaimanapun, kata beliau, sepanjang tiga tahun hanya RM600,000 sahaja ganjaran yang telah dibayar kepada pihak pemberi maklumat.

Jais mencadangkan antaranya langkah kerohanian dan kaunseling di setiap jabatan dilakukan penstrukturan semula sebagai langkah terbaik untuk menghapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

“Sebagai contoh, jika kita tidak mahu amalan rasuah berleluasa ketua jabatan patut ditukar enam bulan sekali.

“Jangan buka peluang kepada pihak terbabit untuk menggunakan lompong (loophole) atau ruang kelabu dalam struktur pentadbiran untuk melakukan rasuah,” tambah Jais lagi.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here