JERANTUT – Kerajaan diminta mengiktiraf usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan program khidmat masyarakat di kawasan bencana dengan memberi bantuan atau sumbangan berupa kemudahan ujian saringan Covid 19 (ujian swab) secara percuma untuk menyekat penularan wabak berkenaan.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata: “Ujian saringan Covid 19 wajar diberikan secara percuma kerana NGO-NGO ini melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang tenaga dan wang ringgit tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.”

Ahmad Nazlan Idris, Ahli Parlimen Jerantut

Tambah Nazlan, “Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai NGO untuk turun padang memberi bantuan di kawasan yang ditimpa bencana sekali gus dapat mendidik semua pihak agar mematuhi SOP dan secara tidak langsung kita dapat bersama melandai lekuk Covid-19 di negara kita.”

Nazlan berkata demikian ketika hadir pada program sukarelawan MyRaudhah yang bergotong royong membersihkan sebuah masjid yang terletak di Kampong Kelola di Mukim Kampung Kelola yang merupakan masjid tertua di tubuhkan di tebing Sungai Pahang. Turut hadir Datuk Ruhaidini Abd Kadir selaku Pengasas MyRaudhah.

Sukarelawan MyRaudhah menyampaikan sumbangan kepada Ahli Parlimen Jerantut

Seramai 40 orang sukarelawan MyRaudah yang berpusat di Kuala Lumpur telah berkampung selama 3 hari bermula pada 14 Jan di Temerloh, Pahang untuk menyertai aktiviti pembersihan pasca banjir di beberapa buah kediaman dan sebuah masjid di Taman Sri Semantan, pembersihan wakaf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Songsang dan penyampaian sumbangan barangan kepada 12 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Bukit Tingkat.

Nazlan menzahirkan penghargaan kepada MyRaudhah di atas inisiatif dan usaha murni pertubuhan ini untuk misi pasca banjir bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman.

Pada program membersihkan Masjid Kg Kelola, MyRaudhah turut menyampaikan pelbagai sumbangan berupa wang tunai, 5 buah water jet, telekung, sejadah dan beberapa barangan keperluan harian kepada Ahli Parlimen Jerantut.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here