Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR — Berbicara tentang rasuah, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat senada dengan pandangan yang diberikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

“Rantaian rasuah ini perlu diputuskan” kata Adnan sambil menyifatkan langkah itu penting bagi memastikan gejala rasuah dalam perkhidmatan awam dapat ditangani dan tidak merebak menjadi barah yang sukar dikawal.

Menurut orang kuat CUEPACS itu, semua pihak perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi membanteras gejala rasuah dalam jabatan atau agensi kerajaan dapat diputuskan untuk memastikan imej penjawat awam tidak tercalar.

“Kita tidak mahu masyarakat memandang serong terhadap penjawat awam kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” beliau memberitahu BebasNews ketika dihubungi di sini.

Adnan menyifatkan kenyataan Mohd Khairul tentang perlunya penjawat awam menjaga tepi kain orang dalam usaha mengelak amalan rasuah dan salah guna kuasa menjadi semakin parah merupakan satu jaminan penting.

Sebelum ini kakitangan awam untuk kegiatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing kerana bimbang menjadi sasaran pihak tertentu jika apa yang dilaporkan gagal diberikan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa, kata beliau.

Adnan berkata: “Penjawat awam bimbang keselamatan mereka. Mereka masih tidak yakin dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga pihak pengurusan di jabatan sendiri bahawa diri mereka selamat dan identiti mereka tidak akan didedahkan.

“Jika identiti mereka terdedah, pengadu bimbang akan dipinggirkan, diancam keselamatan serta tidak dipinggirkan kerana dianggap mencemarkan nama baik jabatan.

Bagaimanapun, Adnan percaya dengan kenyataan yang dibuat Mohd Khairul, penjawat awam akan menjadi lebih berani untuk membuat laporan, saling mengambil tahu dan menjaga agar rakan sekerja mereka bebas daripada gejala rasuah.

Beliau berkata, gejala rasuah telah menjadi amalan atau budaya turun-menurun dalam kalangan kakitangan awam di jabatan atau agensi tertentu apabila orang luar mengambil kesempatan memberi sogokan di atas kelemahan penjawat awam.

Adnan berharap pada tahun ini, penjawat awam terus berkhidmat dengan penuh integriti demi negara sambil turut meningkatkan produktiviti mereka.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here