Oleh Ar-Razzaq Nazri

PUTRAJAYA — Ibarat sirih pulang ke gagang, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr.Ibrahim Abu Shah,73, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti yang baharu berkuatkuasa Isnin ini.

Beliau menggantikan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM sebelum ini, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, yang tamat tempoh perkhidmatan semalam.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam hantaran Facebook beliau pagi ini, mengucapkan tahniah kepada Ibrahim atas pelantikan itu.

“Tahniah saya ucapkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah atas pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Saya yakin berbekalkan pengalaman luas dalam dunia pendidikan di negara ini, beliau mampu meneruskan kegemilangan UiTM dalam usaha membantu anak Bumiputera mendapat pendidikan tertinggi dan menghasilkan profesional bersaing di dalam dan luar negara,” katanya.

Difahamkan pelantikan tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 18 Januari 2021 hingga 17 Januari 2024.

Anak kelahiran Melaka itu memulakan kerjayanya sebagai Pensyarah, Kajian Pentadbiran dan Undang-Undang pada 1975 adalah Naib Canselor Kedua UiTM bagi tempoh sembilan tahun bermula pada 1 Januari 2001 dan bersara pada 31 Disember 2009.

Pada 14 Oktober 2017, beliau dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada Istiadat Konvokesyen ke-87, UiTM.

Beliau juga dilantik menjadi Senator pada 3 Oktober 2014 dan menyambung penggal kedua pada tahun 2017.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here