KARTUN oleh Gary Trudeau.

Oleh Ahmad Abd Hamid

HARIMAU mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Presiden Donald Trump belum mati. Tetapi apabila dia melangkah keluar dari Rumah Putih pada 20 Januari ini dan Joe Biden mengangkat sumpah Presiden Amerika ke-46, Trump akan pergi dengan hati luka dan nama tercalar.

Luka hati kerana gagal mempertahankan jawatan untuk penggal kedua. Tercalar nama kerana dia dituding menyokong dan menggalakkan keganasan. Malah dia berkemungkinan menghadapi tindakan pemecatan (impeachment) oleh senat.

Trump akan dikenang dan diingat, tetapi atas sebab yang salah. Era pentadbirannya dipenuhi pelbagai kontroversi. Pengundurannya bukan sebagai presiden yang disayangi tetapi dicemuh kerana sikap angkuh dan kasar, mencetuskan keganasan serta menggugat sistem demokrasi di Amerika.

Sehingga ke penghujung tempuh jawatannya, dia masih mempertahankan dakwaan penipuan dalam pilihan raya presiden 2020 yang dimenangi oleh Biden walau pun tidak ada bukti. Baginya kemenangan Biden tidak sah dan tidak akan menghadiri majis angkat sumpah Biden.

Selama memegang jawatan, Trump menampilkan ciri angkuh. Lihat sahaja setiap kali sidang akhbar di Rumah Putih betapa dia sering mengherdik dan memperleceh wartawan.
Anggota kabinet atau pegawai pentadbiran yang tidak sehaluan atau enggan menurut kemahuannya dipecat. Yang tidak mampu bertahan dengan perangai dan karenahnya pula meletak jawatan.

Antara anggota kabinet yang dipecat ialah Setiausaha Pertahanan, Mark Esper pada November 2020, Peguam Negara, Jeff Sessions pada November 2018, Peguam Negara William Barr pada Disember 2020. Trump juga memecat James Comey, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Mei 2017.

Sekalipun keputusan pilihan raya tidak menyebelahinya, Trump bersemangat apabila ramai menyokongnya. Tetapi kebanyakan mereka ini, termasuk Peguam Negara, William Barr, akhirnya menerima hakikat Trump tewas dan Biden menang.

Pelbagai prosiding mencabar kemenangan Biden yang difaikan di mahkamah gagal. Trump kemudian meminta negeri-negeri tidak mengesahkan undi elektoral atau electoral votes yang diperoleh oleh Biden.

Dia meminta Gabenor Georgia, Brian Kemp dan Setiausaha Negeri, Brad Raffensperger, ‘mencari undi’ kerana mendakwa dia menang di negeri itu. Walau pun Kem dan Raffensperger adalah anggota Republikan mereka enggan tunduk kepada Trump.

Gagal usaha ini, Trump masih tidak putus asa. Sasaran seterusnya ialah persidangan kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat untuk mengesahkan undi elektoral 6 Januari lalu.
Ketika inilah penyokong Trump merusuh di bangunan Capitol tempat persidangan diadakan. Malah Trump menyokong tindakan penyokongnya yang berkumpul di Washington DC, menyifatkan mereka sebagai hero dan berani.

Namun setelah serangan sehingga menyebabkan lima orang terkorban, bangunan Capitol rosak dan proses pengesahan undi elektoral terganggu barulah Trump panik. Dia menggesa penyokongnya berundur. Tetapi sudah terlambat kerana kerosakan sudah berlaku.

Berang dengan sikap Trump ini, usul pemecatan dikemukakan terhadapnya. Pemimpin Demokrat dan beberapa pemimpin Republikan setuju Trump disingkirkan atas alasan menggalak dan mencetuskan keganasan terhadap kerajaan Amerika.

Dewan Perwakilan yang dikuasai Demokrat, memecat Trump pada 12 Januari dengan sokongan beberapa ahli Republikan. Nota pemecatan akan dihantar kepada Senat.

Jika senat membincangkan pemecatan Trump, ia dijangka berlarutan sehingga selepas Trump berundur sebelum keputusan dimuktamad. Jadi apa guna memecat Trump jika dia sudah bersara? Ada kesan jangka panjang. Jika dia didapati bersalah, Trump tidak boleh memegang apa-apa jawatan awam pada masa depan.

Justeru jika Trump masih menyimpan cita-cita politik, pintu politik akan tertutup. Jika tidak dipecat pun, tidak mungkin Republikan mahu dia menjadi calon parti itu untuk pilihan raya presiden pada 2024 atau tahun-tahun berikutnya.

Trump akan meninggalkan Rumah Putih tanpa legasi manis. Malah dia akan dikenang sebagai presiden paling tidak disukai dalam sejarah Amerika. Semua kerana salah sendiri.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here