Oleh Hassan Mohd Noor

PENINGKATAN kes jangkitan Covid-19 di negara ini semakin ‘membimbangkan’ walaupun trend itu berlaku di kebanyakan negara.

Semalam, kita dikejutkan dengan bukan sekadar empat digit tetapi bermula dengan angka empat (4). Jumlah jangkitan harian terkini adalah 4029. Hari ini belum pasti.

Dua minggu pertama ini, kita sudah beberapa kali dikejutkan dengan angka ‘Kes Positif Harian Tertinggi’.

Tahun lalu, sebagai permulaan, jumlah tertinggi bolehlah diambil angka 2335 yang direkodkan pada 26 Disember 2020, dan diakhiri dengan 2525 pada 31 Disember 2020.

Tahun 2021, kes baharu harian direkodkan pada 6 Januari iaitu 2593. Hari berikutnya ‘kes positif harian tertinggi’ 3027 diikuti 12 Januari sekali lagi tertinggi 3309, kemudian tertinggi lagi 3337 pada 14 Januari dan semalam kes baharu 4029.

Mungkin itu belum penamat kes harian tertinggi. Bukan di Malaysia sahaja berlaku peningkatan kes kerana negara jiran seperti Indonesia dan Filipina juga menunjukkan peningkatan kes melibatkan empat digit.

Indonesia contohnya yang telah mencatatkan 896,642 kes sehingga semalam terus menunjukkan pertambahan kes.

Jumaat lalu, Indonesia merekodkan 12,818 kes yang dikatakan sebagai angka harian tertinggi tetapi semalam (Sabtu) angka terbaharu lebih tinggi dengan merekodkan 14,224 kes.

Begitu juga di Filipina, semalam merekodkan 2,058 kes berbanding 12 Januari sebanyak 1,524 kes diikuti 1,453 kemudian naik kepada 1,912 pada 14 Januari dan 2,048 pada 15 Januari.

Hanya Brunei Darussalam yang setakat ini mengumpul 174 kes mencatatkan kes harian terendah kecuali pada 3 Julai sebanyak 15 kes.

Peningkatan kes di Malaysia bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia sudah dijangka. Cuma, angka itu muncul lebih awal daripada jangkaan.

Unjuran Kementerian Kesihatan menunjukkan negara ini dijangka merekodkan peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga 8,000 sehari pada akhir Mei, jika kadar infektiviti negara berterusan pada 1.1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memuat naik dua carta di Twitternya yang menunjukkan kemungkinan senario untuk negara sekiranya gagal menurunkan Covid-19 kepada R-naught, yang berada di sekitar 1.1.

Angka R-naught digunakan oleh ahli epidemiologi untuk menerangkan tahap keseriusan sesuatu penyakit berjangkit.

Dengan angka 1.1, KKM mengunjurkan bahawa jangkaan peningkatan 3,000 kes sehari pada minggu kedua bulan Februari dan terus meningkat menjadi 5,000 kes sehari dalam minggu kedua bulan April.

“Sekiranya berterusan, jumlah kes harian akan meningkat menjadi 8,000 pada minggu keempat bulan Mei,” katanya.

Justeru, selepas ini kita mungkin akan melihat angka harian tertinggi atau angka kes baharu yang bukan sekadar empat angka tetapi bermula dengan nombor 4 atau 5 atau 6 atau 7 hingga ke 8. Diharapkan tidak terjadi begitu.

Mohon dilindungi kerana ia mungkin menjejaskan tumpuan barisan hadapan serta kesesakan di hospital atau dewan yang dijadikan pusat kuarantin kes berisiko rendah.

Apa yang diharapkan langkah mengenakan sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 pada Mei ini.

Itu pun tidak memadai dengan dua minggu PKP kemudian ‘bebas’ dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang seolah-olah PKPB sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bebas.

Datanglah apa juga ‘nama’ sama ada PKP, PKPB, PKPP atau PKPD, yang penting rakyat berkorban untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tertiblah dengan SOP ini. Jangan tunjuk ego. Disiplin (Patuh) itu juga satu SOP yang penting bukan SOP sekadar pakai pelitup muka, jarak fizikal dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here