KES baharu Covid-19 di negara ini menunjukkan sedikit kelegaan berbanding semalam namun kekal pada empat angka.

Menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh 24 jam lalu sebanyak 3,339 kes baharu dikesan dengan 15 daripadanya membabitkan kes import.

Pada masa sama sebanyak tujuh kematian direkodkan menjadikan jumlah korban akibat wabak itu setakat ini seramai 601 orang.

Kes sembuh pula sebanyak 2,676 menjadikan jumlah sembuh kumulatif menjadi 120,051 kes.

Dalam tempoh sama juga bilangan pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bertambah 35 orang berbanding semalam, menjadi 240 kes pada hari ini.

Pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan juga meningkat kepada 93 orang berbanding 79 semalam.

Berikut adalah indikator penting perkembangan terkini Covid-19:

Kes aktif: 37,782 (bertambah 656 kes)

Pesakit di ICU: 240 (pertambahan tertinggi – 35 kes – setakat ini)

Pesakit perlukan bantuan alat pernafasan: 93 (bertambah 14 kes)

Meninggal dunia: 7 (semalam 8 kes)

Sementara itu Selangor sekali lagi kekal menjadi negeri paling banyak mencatatkan kes baharu iaitu 1,314 diikuti Sabah (393) dan Johor (362).

Pecahan lain mengikut negeri seperti berikut:

  • Kuala Lumpur: 334
  • Negeri Sembilan: 236
  • Pulau Pinang: 120
  • Kelantan: 114
  • Perak: 107
  • Kedah: 96
  • Sarawak: 62
  • Pahang: 61
  • Melaka: 60
  • Putrajaya: 23
  • Terengganu: 22
  • Labuan: 22
  • Perlis: 13

Menurut KKM, daripada tujuh pesakit yang meninggal dunia, tiga adalah lelaki berusia 62 tahun, 67 tahun dan 93 tahun.

Dua daripada korban terbabit menghembuskan nafas terakhir di hospital Kluang, Johor manakala seorang lagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Wanita yang menjadi korban pula berusia 32 tahun dan 58 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Kelang, manakala seorang lagi berusia 78 tahun dan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

https://bit.ly/3stefA1
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here