Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini menjelaskan bahawa pihaknya mengambil berat terhadap persekitaran kerja, keperluan asas serta penjagaan kesihatan dan keselamatan anggotanya di setiap fasiliti kesihatan.

“Bagi memastikan keperluan sumber manusia yang mencukupi pihak JKNS juga membuat pengagihan tambahan Pegawai Perubatan, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Pembantu Perawatan Kesihatan melalui ‘redeployment’ dalam negeri mahupun negeri-negeri lain serta tambahan kakitangan daripada pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Sungai Buloh,” kata Pengarah JKNS, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman.

Langkah berkenaan juga bertujuan memastikan semua fasiliti dapat memberi rawatan yang cekap dan berkualiti kepada pesakit.

Beliau berkata, pada saat krisis pandemik Covid-19 adalah penting untuk pihaknya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta klinik kesihatan untuk mengekalkan semangat, kerjasama dan motivasi dalam kalangan kakitangan.

Dr. Sha’ari Ngadiman berkata demikian sebagai menjawab keluhan seorang doktor bertajuk ‘LETTER: A Tired Doctor From Sg.Buloh Ask To Be Treated Humanely’ yang disiarkan dalam sebuah portal pada 16 Januari lalu.

Dalam surat berkenaan doktor tersebut membangkitkan isu bajet kementerian kesihatan yang dipotong, kekurangan tenaga manusia, kesesakan dan kekurangan kemudahan.
Dr. Sha’ari juga berkata, seperti hospital-hospital lain, kakitangan yang bekerja di Hospital Sungai Buloh (HSB) juga diberi elaun Covid-19, elaun kerja lebih masa dan elaun-elaun lain berdasarkan kepada kelayakan mereka.

Beliau menambah, pemberian makanan kepada Pegawai Perubatan yang dipanggil untuk bertugas juga dibuat berdasarkan pekeliling KKM.

“Pada masa ini, semua anggota perubatan yang bertugas secara atas panggilan telah dibekalkan makanan mengikut surat pekeliling tersebut.

“Semasa awal pandemik Covid-19, HSB mendapat banyak sumbangan makanan daripada badan-badan sukarela, industri, agensi dan lain-lain. Namun sekarang ia semakin berkurang atau tiada, tetapi makanan masih boleh diperoleh dari kafeteria yang beroperasi di hospital selain boleh membuat pesanan secara dalam talian seperti grabfood.

Mengulas tentang isu waktu kerja wad Covid-19, pegawai perubatan bertugas berdasarkan shif yang ditetapkan untuk mengurangkan beban anggota perubatan di hospital ini dan mereka juga diberikan hari rehat seperti mana dijadualkan secara adil.

Jelas beliau, pegawai bertugas dan kakitangan turut diberi ruang zon hijau untuk berehat, solat, makan dan membersihkan diri (bilik mandi).

“Ini bagi memastikan kakitangan bebas daripada zon merah dan mereka balik dalam keadaan bersih,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here