FOTO: NSTP.

MANJUNG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak belum menerima sebarang aduan berhubung aktiviti kuari yang didakwa menyebabkan kemusnahan kawasan Air Terjun Tanjung Batu di sini.

Bagaimanapun, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata pihaknya memantau isu berkenaan dan akan menyiasat jika ada unsur penyelewengan atau rasuah.

“Jika ada (unsur rasuah dalam isu itu) dan aduan dibuat, siasatan akan dilakukan.

“Jika orang awam mempunyai maklumat ketirisan berkaitan aktiviti atau sebarang penyelewengan dalam mana-mana kes, diminta segera melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu daripada penduduk mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Keindahan air terjun berkenaan dan alam semula jadi di kawasan sekitarnya hampir lenyap apabila aktiviti kuari dan pembersihan hutan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan negeri mengarahkan sebarang aktiviti di sekitar kawasan berkenaan, dihentikan sementara menunggu hasil siasatan selesai dijalankan.

Beliau dilaporkan berkata, pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga sudah diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan di kawasan berkenaan.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/777458/kemusnahan-air-terjun-sprm-siasat-jika-ada-unsur-rasuah
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here