EXCO FAM pada 12 Januari lalu yang memutuskan skuad B19 negara ke Sukan SEA Vietnam 2021. - Foto FAM.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

JAWATANKUASA Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan satu perkara drastik yang boleh dipertikaikan pada 12 Januari lalu – mempertaruhkan skuad Bawah 19 Tahun negara ke Sukan SEA Vietnam 2021, November ini.

Ketika kebanyakan negara jiran rantau Asia Tenggara masih menganggap betapa pentingnya ‘ibu segala pingat emas’ dalam temasya dwitahunan itu, FAM seperti terasa pasukan belia kita sudah terlalu gagah untuk menyainginya lagi.

Sukan SEA sejak 2001 di Kuala Lumpur mengehadkan hanya pemain berusia bawah 23 tahun dan mulai Filipina 2019, membenarkan kemasukan dua pemain lebih umur dalam kategori saingan had usia yang dikurangkan kepada 22 tahun.

Hanya enam kali Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA atau SEAP – Rangoon 1961, Kuala Lumpur 1977, Jakarta 1979, Kuala Lumpur 1989 (senior) dan Laos 2009 dan Jakarta-Palembang 2011 (bawah 23).

Justeru belum begitu konsisten untuk kita berasa bahawa cukuplah skuad B19 dihantar ke Hanoi sebagai pendedahan.

BRADLEY Maloney, warga Australia jurulatih skuad B19 Malaysia yang juga penolong Ong Kim Swee di Manila, dua tahun lalu. Foto FAM.

Jadi untuk apa Piala Presiden yang dikelolakan setiap tahun oleh FAM? Malah terdapat ramai pemain bawah 21 tahunnya yang sudah beraksi dalam Liga Super dan Perdana, sudah berpotensi dan matang untuk dipertimbangkan ke dalam skuad Harimau Malaya.

Takkan FAM tidak teringat bagaimana skuad B22 kita yang terpaksa melupakan khidmat Safawi Rasid atas sebab khuatir dia terlalu penat, diaibkan Kemboja 3-1 dalam saingan Kumpulan A di Stadium Peringatan Rizal, Manila dalam Sukan SEA tanggal 4 Disember 2019?

Inilah kekalahan pertama Malaysia kepada lawan yang pernah dianggap kerdil dalam sejarah Sukan SEAP/SEA sejak 1961.

Khidmat ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee tidak disambung selepas itu tetapi dia kini menyandang jawatan Pengarah Teknikal FAM pula!

Ketika pasukan jiran membawa barisan pemain terbaik + 2 senior, adakah kita rela biarkan anak-anak buah Bradley Maloney nanti yang masih hijau, diratah mentah-mentah sehingga lima atau enam gol ke atas tanpa balas?

Kekuatan dan kematangan permainan pemain bawah 22 tahun pastilah jauh lebih berbeza dengan lawan yang remaja. Tidak banyak sumbangan si remaja Luqman Hakim Shamsudin pun dalam Sukan SEA 2019 yang boleh dibanggakan.

LUQMAN Hakim Shamsudin (kiri) didapati masih tercari-cari rentak saingan lebih usianya ketika Sukan SEA Filipina 2019. – Foto FAM

Sukan SEA juga bukanlah sebuah kejohanan jemputan antarabangsa negara jiran yang lebih bertujuan menjalin muhibah atau meraikan hari ulang tahun kebesaran mereka!

Kita pernah diaibkan Filipina kali pertama, 1-0 di Manila 1991, juga 1-0 dua tahun lalu. Kemudian oleh Laos 1-0 di Jakarta 1997 dan kini Kemboja 3-1 juga di Manila. Sanggupkah kita mengulangi sejarah hitam itu dengan Timor Leste atau Brunei pula?
Jadi kepada FAM, hantarlah barisan pemain belia terbaik kita dengan keutamaan kepada bawah 22 tahun dan dua tonggak senior Harimau Malaya, selaras syarat maksimum pertandingan bola sepak Sukan SEA sekarang.

Tunggulah kalau-kalau skuad belia kita sudah konsisten membolot emas sehingga empat atau lima kali berturut-turut akan datang atau sudah cukup mantap pada peringkat usia itu dalam saingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) , barulah kita boleh fikirkan untuk dedahkan pemain yang lebih muda.

Biar sebanyak mana pun kontinjen kita mengaut pingat emas Sukan SEA menerusi sukan yang kurang popular, bola sepak temasya ini masih memerlukan agenda emas Malaysia!

Permainan cantik ini memang ada nilai sentimental dan keistimewaan tersendiri. Kita telah merasai ‘kesepian emas’ itu biarpun dua kali muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 dan 2017!

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here