Dari segi vokal Aisha Retno tiada masalah kerana beliau adalah seorang penyanyi yang berbakat.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MENJADI juara rookie untuk program Vokal Mania pada Disember tahun lalu, merupakan platform kepada Aisha Retno untuk terus melakar nama dalam bidang seni suara.

Pembabitan Aisha, 21, dalam bidang seni bukan bermula dengan Vokal Mania, sebaliknya dua tahun sebelum ini beliau telah menghasilkan single Mengikat Jiwa (2018) dan Terima Kasih, duet bersama Yuka Kharisma.

Mungkin ketika itu rezeki belum menyebelahi Aisha sepenuhnya, kerana namanya tidak menyerlah seperti yang diharapkan. Beliau yang tidak mudah berputus asa itu berharap kali ini menerusi lagu Cinta Denganmu menggubah segalanya.

Cinta Denganmu adalah lagu ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan yang merupakan runut bunyi untuk drama Takdir Yang Tertulis yang bakal bersiaran menerusi slot Samarinda, TV3 pada 21 Januari ini.

Berkongsi mengenai lagu tersebut, Aisha berkata, ia merupakan sebuah kisah percintaan yang menyedihkan bertepatan dengan plot cerita drama arahan Shahrulezad Mohameddin.

Kata Aisha atau nama penuhnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, tatkala mendendangkan lagu tersebut, beliau dapat merasai keperitan seorang wanita yang cintanya tidak berbalas.

Selepas Vokal Mania, Aisha tampil dengan single Cinta Denganmu.

“Lagu ini berkenaan perasaan cinta seorang wanita tidak diterima si lelaki. Akhirnya, beliau terpaksa akur cintanya bertepuk sebelah tangan meski sudah berusaha. Wanita itu sangat berharap dapat menjaga lelaki itu walau apa pun dugaan menimpanya. Tapi malangnya, lelaki itu tidak mampu membalas cintanya. Lantas, baginya kebahagiaan itu tidak semestinya menjadi milik seseorang.

“Mesej lagu ini menjelaskan bahawa cinta itu tidak perlu dipaksa dan kena hadir sendiri. Kepada pasangan bercinta pula, mereka seharusnya memiliki kesefahaman daripada kedua pihak. Tidak dilupakan, bukan semua pasangan bercinta mampu mengecap kebahagiaan diidam,” ulasnya tentang bait-bait lagu Cinta Denganmu.

Apapun, Aisha mengakui teruja mendapat kepercayaan untuk merakamkan lagu Cinta Denganmu kerana beliau begitu mengagumi hasil karya Farouk dan Amylea.

Ternyata, dua figura itu cukup profesional untuk memastikan Aisha selesa sewaktu rakaman dan mampu menjiwai lagu tersebut ketika di studio.

Semoga ketjaya seni Aisha berjalan lancar.

“Alhamdulillah proses pembikinannya sangat lancar dan dipermudahkan. Bekerja dengan Farouk dan Amylea adalah satu penghormatan buat saya. Seminggu sebelum rakaman, Farouk memberikan demo lagu itu kepada saya selain banyak perbincangan dibuat bagaimana untuk saya sesuaikan diri dengan lagu ini.

“Walaupun Farouk seorang komposer ternama, beliau masih lagi terbuka menerima pendapat orang baharu seperti saya. Sewaktu rakaman, saya mendapat tunjuk ajar daripada Jat Lobo yang berperanan sebagai pengarah vokal. Dialah yang membantu saya daripada segi penjiwaan demi memastikan penyampaian nyanyian saya berkesan,” katanya.

Aisha Retno pernah merakam dua single sebelum ini.

Bagaimanapun, Aisha juga tidak mengambil mudah dan hanya sekadar mahu menyanyikan lagu ini tanpa belajar selok-belok liriknya. Dia mengakui kurang pengalaman dalam bercinta menjadi cabaran terbesar yang harus dia sahut.

Menurutnya, kehadiran Jat Lobo memberikannya nafas lega sepanjang di studio rakaman.

“Secara peribadi, cabaran terbesar semestinya untuk mendalami liriknya. Saya sendiri belum pernah mengalami perit percintaan sebagaimana kisah lagu ini. Memang saya akui agak ambil masa juga untuk saya benar-benar dapat menghayatinya. Tapi alhamdullilah, Jat Lobo sangat membantu sepanjang proses itu,” ujarnya yang berjaya memenangi anugerah The Rookie Star Award pada minggu awal Vokal Mania kerana menewaskan peserta idol iaitu Tomok.

Cinta Denganmu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Aisha teruja dapat merakam lagu ciptaan Farouk dan Amylea.
-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here