Kerana Korona filem arahan Kabir Bhatia berkisar tentang kehidupan rakyat Malaysia semasa pandemik Covid-19.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BERMULA Mac 2020 hingga sekarang, rakyat Malaysia tidak bebas bergerak kerana masih lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP hanya akan terhenti jika kita berjaya memutuskan rantaian pandemik Covid-19, namun impian itu belum menjadi kenyataan. Sebaliknya, Malaysia telah dilanda gelombang kedua Covid-19 dan setiap hari kita dapat melihat peningkatan kes.

Malah kerana Covid-19 juga pelbagai perkara baharu berlaku dalam kehidupan seharian kita. Keadaan situasi sekarang juga turut memberi inspirasi kepada pihak Astro Shaw untuk menerbitkan filem semasa yang diberi judul Kerana Korona.

Kerana Korona yang berlatarkan tentang kehidupan rakyat Malaysia dalam situasi pandemik Covid-19 mempersembahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian dengan satu harapan.

Jalaludin Hassan dan Fatimah Abu Bakar antara yang berlakon.

Filem arahan Kabir Bhatia, bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First mulai 21 Januari ini.

Khabir merupakan pengarah yang terkenal dengan sentuhan magisnya dalam menghasilkan karya-karya yang mampu menyentuh emosi penonton.

Jika terdahulu beliau telah mengundang air mata penonton menerusi filem Bisik Pada Langit (2017), kini dengan elemen harapan, cinta dan keluarga sebagai tunjang utama, pasti akan mengulangi fenomena ‘bawa tisu’ ketika menontonnya.

Pengarah filem pecah panggung, Sangkar (2019) itu menerusi Kerana Korona, akan membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik PKP.

Rita Rudaini dan Rashidi Ishak kembali berlakon sebagai pasangan suami isteri.

Seperti babak keluarga, menyaksikan hakikatnya PKP memberi peluang untuk mereka memperbaiki serta lebih mengeratkan lagi hubungan bersama orang tersayang.

Bukan itu sahaja, bagi babak di kampung yang ditonjolkan, mesej yang cuba disampaikan adalah apabila terjadi PKP ia membuatkan masyarakat Malaysia lebih bersatu membantu antara satu sama lain agar dapat sama-sama meneruskan perjuangan dalam waktu getir.

Sarat dengan emosi, setiap babak telah dijayakan dengan begitu baik oleh pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Idan Aedan, Umar Shakur dan Anwaar Beg Moghal.

Ini juga merupakan gandingan semula Rita Rudaini dan Rashidi Ishak sebagai pasangan suami isteri selepas filem Cinta (2006).

Kejadian yang dipaparkan dalam Kerana Korona diinspirasikan daripada kejadian sebenar.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Kerana Korona adalah filem pertama terbitan Astro Shaw pada tahun ini.

“Tahun lalu merupakan tahun yang cukup mencabar buat semua dan kami memahami setiap insan pasti mempunyai kisah mereka tersendiri. Jadi, Astro Shaw telah inspirasikan latar sebenar iaitu ketika dalam tempoh PKP, dalam bentuk filem dengan mengangkat kisah serta konflik berbeza yang mana ia sememangnya terjadi dalam kalangan penonton di luar sana.

“Menariknya, cerita sebegini tidak pernah lagi difilemkan. Maka, diharap menerusi Kerana Korona sedikit sebanyak ia mampu mengingatkan penonton bahawa meskipun kita berada dalam tempoh sukar, sentiasalah hargai orang di sekeliling, terutamanya keluarga tersayang kerana setiap mereka mungkin sedang melalui pergolakan masing-masing.

Bila semua berkumpul di rumah kerana PKP mesti ada pertelingkahan sesama ahli keluarga.

“Memandangkan sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu menempuhi sekali lagi tempoh PKP, lalu kami merasakan sekarang adalah masa yang tepat untuk filem dengan tema sebegini menemui penonton bagi mengisi masa mereka dengan menonton bersama keluarga dan terus kekal berada di rumah,” katanya.

Kerana Korona menampilkan tiga kisah yang mempunyai pertalian di mana Zati tidak bahagia bersama Razman. Meskipun suaminya sentiasa berada di rumah, namun mereka semakin menjauh.

Manakala, anak mereka Harun yang mempunyai cita-cita sebagai jurufoto, namun impiannya dipandang rendah oleh Zati dan Razman. Bosan kerana melihat ibu bapanya sering bertengkar, Harun mula keluar secara sembunyi ketika PKP bersama Maya.

Sementara itu, adiknya, Bob berusaha menyediakan aktiviti di rumah untuk Zati dan Razman agar mereka berbaik.

Kisah kedua menyaksikan tentang seorang doktor bernama Janna yang berdepan dengan dilema tanggungjawab dan pendirian.

Manakala, kisah ketiga mengenai warga emas, Leman yang keras kepala dan abaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga merisaukan jirannya Leila. Sementara itu, Leila hidup kesunyian dan tidak berhubung dengan anaknya, Razman.

Saksikan filem Kerana Korona yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First, untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim Kerana Korona di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam secara berulang kali. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here