Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BERMULA 14 Januari 2021, GOJO Malaysia iaitu perkhidmatan pengangkutan berasaskan e-hailing telah mengurangkan komisennya kepada 0% untuk semua pemandu dan pengendara penghantaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Operasi GOJO, Pradeep Kumar, mengesahkan inisiatif tersebut sebagai langkah bagi membantu rakan pemandu GOJO yang semakin kurang menerima tempahan susulan PKP yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Inisiatif 0% komisen semasa PKP adalah sejajar dengan objektif dan hala tuju syarikat. GOJO adalah visi bersesama yang dibangunkan secara kolektif untuk penduduk tempatan dan oleh rakyat Malaysia.

“Oleh yang demikian, pada masa-masa getir dan mencabar ini, kami akan melakukan apa sahaja yang kami mampu untuk menyokong komuniti setempat, walaupun dengan perbelanjaan kami sendiri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, baru-baru ini.

KETUA Pegawai Operasi GOJO, Pradeep Kumar.

Ujarnya, dalam usaha menyokong usaha pihak kerajaan untuk melandaikan lengkung Covid-19 ini, pihak GOJO juga telah melaksanakan Teknologi Pengenalan Topeng Muka pada aplikasi Pemandu GOJO.

Dengan aplikasi ini para pemandu dikehendaki membuat pengesahan bahawa mereka memakai topeng muka sebelum menerima sebarang tempahan.

Menurut Pradeep, teknologi tersebut merupakan sebahagian daripada langkah keselamatan dan kesihatan yang telah dilaksanakan secara ketat oleh pihak GOJO untuk memastikan perlindungan maksimum bagi para pelanggan dan juga pemandu di jalan raya.

“Walaupun urus niaga tunai masih dominan di Malaysia, kami telah melancarkan banyak program kerjasama dengan rakan e-dompet seperti Touch’n Go dan Boost untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai ketika menempah perkhidmatan GOJO,” jelasnya tentang kemampuan GOJO dalam menyediakan perkidmatan pembayaran tanpa tunai.

GOJO yang dilancarkan pada Ogos 2020, adalah pengendali e-hailing tempatan di Malaysia yang berjaya menempuh segala rintangan dan cabaran sepanjang tempoh pandemik dalam mencapai pertumbuhan yang mapan dan berterusan.

Sehingga kini, GOJO telah menyediakan perkhidmatan untuk lebih 117,000 pelanggan aktif dalam perkhidmatan pengangkutan dan juga penghantaran atas permintaan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here