Oleh Hassan Mohd Noor

DULU, 50 dalil untuk memadam impian Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM), sekarang 30 dalil untuk menyingkirkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO. Begitulah ‘kehebatan UMNO’ untuk mematikan politik seseorang pemimpin.

Jika dulu buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM bertebaran semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tetapi era teknologi maklumat ini ‘buku’ itu datang melalui media sosial. Tersebar begitu pantas.

Mungkin strateginya sama, ‘buku elektronik’ itu 30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden UMNO mahu diedarkan secara meluas kepada perwakilan semasa PAU tetapi PAU terpaksa ditangguhkan kerana darurat.

Gerakan untuk menjatuh dan merosakkan UMNO tidak pernah berhenti. Lebih meloyakan jika usaha itu datang dari dalam, tidak perlu tunggu Bersatu, PKR atau Amanah menabur ‘racun’ mematikan parti Melayu itu.

Parti politik lain hanya perlu beri sedikit masa untuk UMNO ‘merosakkan diri’ atau dirosakkan dari dalam parti itu sendiri. Jangan anggap di dalam UMNO tidak ada ana-anai, musang berbulu ayam atau musuh dalam selimut.

Masih ingat budaya politik sate seperti yang pernah disentuh Ahmad Zahid, merujuk budaya cucuk-mencucuk di antara pemimpin dalam parti yang boleh menjadi punca kepada perpecahan dalam kalangan ahli.

Ada tukang cucuk, ada tukang kipas dan ada tukang hidang dan bungkus! Itu realiti politik.

Darurat tidak bermakna nafas politik perlu dihentikan. Lainlah jika darurat diperintah tentera. Mungkin jika dikuarantin, orang politik akan kurang bercakap.

Orang politik tidak usah bercakap bab jujur dan ikhlas. Masing-masing ada kepentingan sendiri, ada matlamat sendiri. Tanpa mengira parti, ada dalam kalangan orang politik boleh menasihati orang ramai tetapi akhirnya cakap lain, buat lain. SOP Covid-19 pun dilanggar.

Keadaan inilah yang akan menjahanamkan kepercayaan rakyat terhadap orang politik tak kira dari parti mana.

Setakat ini belum ada ‘vaksin’ yang mampu meredakan suasana politik. Vaksin yang ada tidak matang, ia sama ada boleh ‘membunuh’ atau ‘menghidupkan’ individu atau kelompok penyokong tertentu sahaja.

Berbalik kepada 30 dalil, mungkin ramai yang sudah memperoleh ‘buku elektronik’ itu. Membaca bahan seperti ini memang seronok.

Tetapi kalau datang buku 30 dalil kenapa SOP Covid-19 wajib dipatuhi, 30 dalil kenapa perlu duduk di rumah semasa PKP atau 30 dalil kenapa PRU tidak boleh diadakan, 30 dalil kenapa darurat sudah tentu ramai yang menyampah, terlena dan resah.

Mungkin membaca ‘buku dalil’ yang bertujuan menjatuhkan mana-mana pemimpin sama seperti keasyikan Pak Maon membaca buku ‘sejarah’ Hang Tuah dari Melaka dalam filem Nasib Do Re Mi.

Kehadiran ‘buku’ dalil seumpama ini tujuannya hanya satu iaitu menjatuhkan individu berkenaan yang sebelum itu ‘diasak’ supaya meletak jawatan.

Saya tidak pasti siapakah ‘penulisnya’ atau pengumpul bahan ini tetapi ‘buku setebal 31 muka’ ini menghuraikan apa yang ramai sudah tahu yang dikatakan layak bagi Zahid mempertimbangkannya atau menyerahkan kepada perwakilan.

Sebahagian besar dalil bukan lagi rahsia tetapi sudah diketahui umum sama ada didedahkan oleh anggota dalam parti sendiri atau di luar UMNO.

Matlamat ‘buku’ itu sama ada cuba ‘membuka mata’ atau ‘meracuni fikiran’ anggota UMNO mengenai kepemimpinan UMNO pada masa akan datang sekiranya Ahmad Zahid perlu ‘direhatkan’.

Mungkin ia sedikit sebanyak akan menjadi panduan kepada perwakilan menentukan siapa yang seharusnya ke hadapan untuk meneruskan perjuangan UMNO dalam menghadapi PRU.

Sekurang-kurangnya Ahmad Zahid perlu bersedia menjawab 30 dalil itu supaya anggota dan juga penyokong UMNO di luar lebih jelas kedudukan sebenar apa yang berlaku.

Ahmad Zahid tidak harus membiarkan persepsi buruk yang mungkin fitnah, tidak tepat atau tidak benar terhadap dirinya berhubung 30 dalil itu. Berterus terang dan biar jelas.

Apa yang penting ‘utamakan parti bukan individu’ walaupun kata-kata ini realitinya sekadar ucapan pemimpin, bukan amalan bagi kebanyakan orang politik.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here