Farhana Nasrun sedang mengumpul nenas dari ladang yang diusaha bersama Siti Suraya Sharif.

Oleh Arrazaq Nazri

KLANG — Para peladang menarik nafas lega kerana masih mampu mengerjakan ladang berjalan lancar walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dikuatkuasakan di Selangor dan beberapa negeri lain.

Pengusaha ladang nenas, Farhana Nasrun, 34, dari Kampung Johan Setia di sini berkata, pihaknya akur dengan arahan Kerajaan yang mengumumkan PKP kali kedua selama dua minggu bermula 13 hingga 26 Januari.

“Saya masih dapat mengusahakan ladang nenas bersama-sama rakan kongsi, Siti Suraya Sharif sepanjang PKP.

“Sekarang kami sedang di peringkat memungut hasil. Purata harga nenas dalam RM3 hingga RM4 sekilo,”katanya kepada Bebasnews di sini.

Farhana berkata, buah nenas yang ditanam sudah memiliki senarai pembeli yang sedang menanti justeru beliau tidak bimbang dengan impak PKP yang berjalan sekarang.

Bagi usahawan cili merah daripada Kampung Sijangkang, Norhashim Kamisan, 37, beliau tidak perlu bimbang dengan kekurangan tenaga kerja biarpun warga asing dilarang masuk ke negara ini sepanjang PKP.

“Saya menggunakan tenaga kerja yang minima.Buat masa ini saya menggunakan teknologi telefon pintar yang mengawal sistem pengairan, pembajaan.

“Sebelum penggunaan teknologi saya menggunakan tenaga kerja warga asing. Sejak PKP tahun lalu saya menumpukan penanaman cili merah fertigasi secara teknologi elektronik,”katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr.Abdul Razak Khasbullah berkata, walaupun PKP kedua dilaksanakan di negeri ini, pemasaran produk pertanian tetap berjalan seperti biasa.

“Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) di Teluk Panglima Garang terus menerima produk pertanian seluruh negeri untuk kami edarkan ke pasaraya besar dan pasar biasa.

“Kami juga mengadakan jualan terus kepada orang ramai setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu setiap minggu,”katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here