Mereka hanya melarikan diri daripada kemiskinan dan keganasan tetapi terkandas di negara asing disebabkan oleh dasar-dasar imigresen ketat Trump.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador mendesak Amerika Syarikat supaya membuat perubahan kepada dasar-dasar imigresen setelah beribu migran disekat oleh polis di Guatemala.

Beliau sangat mengharap agar bakal Presiden AS Joe Biden bersetuju untuk bekerjasama dengan Mexico dan lain-lain negara bagi menangani masalah ini, lapor bbc.com.

Kira-kira 7,000 migran yang kebanyakannya dari Honduras telah memasuki Guatemala dengan harapan agar dapat bergerak ke Mexico dan seterusnya memasuki sempadan AS.

Setiap tahun berpuluh ribu migran dari Amerika Tengah yang kebanyakannya berjalan kaki cuba memasuki AS secara berkumpulan.

Mereka dikatakan melarikan diri daripada penganiayaan, keganasan dan kemiskinan di negara sendiri.

Terbaharu, keadaan menjadi lebih buruk di rantau itu berikutan kemusnahan disebabkan oleh dua taufan kuat pada November lalu.

Di Guatemala semalam (Isnin) pasukan keselamatan telah menggempur sekumpulan besar migran yang kebanyakannya rakyat Honduras yang singgah sementara berhampiran sebuah kampung.

Menurut saksi anggota keselamatan cuba menakutkan kumpulan migran tersebut supaya mereka berundur ke sempadan Honduras kira-kira 50km dari situ.

Apabila sesetengah daripada migran mula membaling batu, anggota keselamatan bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata.

Kumpulan migran tersebut terkandas di kawasan itu sejak Sabtu lalu hingga mengganggu  trafik di jalan raya utama di situ dan mengakibatkan kesesakan teruk.

Semalam (Ahad) Menteri Luar Guatemala Pedro Brolo menggesa kerajaan Honduras supaya membantu memastikan kepulangan kumpulan migran tersebut secara teratur dan selamat.

Di AS Presiden Donald Trump mengambil pendirian tegas terhadap pendatang tanpa izin, terutama di sepanjang sempadan AS dengan Mexico.

Beliau turut memberi tekanan ke atas Mexico, Guatemala, Honduras dan El Salvador dalam usaha untuk mematahkan kemasukan migran.

Bagaimana pun, Biden pula berkata beliau akan menamatkan dasar-dasar imigresen terlalu ketat yang dikenakan oleh Trump.

Beliau juga mengingatkan migran yang mahu masuk ke AS supaya tidak meneruskan hajat mereka buat sementara waktu kerana apabila beliau mengambil alih semua dasar tidak mungkin diubah sekelip mata.

Dalam pada itu, seorang jurucakap pentadbiran Biden berkata kerajaan AS akan memberi keutamaan kepada imigran tanpa dokumen terlebih dahulu dan bukannya mereka yang sedang dalam perjalanan ke AS.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here