HAMIDIN MOHD. AMIN

Oleh Abdul Hafiz Ahmad


SKUAD bola sepak negara bakal menerapkan latihan pusat sambil patuh kuarantin seperti mana atlet-atlet Program Jalan Ke Tokyo Sukan Olimpik kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijangka disambung semula 25 Mac ini.

Sekalipun ada kemungkinan pusingan kedua kelayakan itu mahu ditunda ke Jun atau September ini ekoran kes penularan Covid-19 yang meningkat di seluruh dunia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini cuba membuat ‘Pelan B’ berdasarkan pendekatan RTT yang diperkenalkan Jun lalu.

FAM pada 12 Januari lalu memutuskan pembatalan kem latihan pusat Harimau Malaya pada Sabtu lalu hingga 25 Januari ini ekoran pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan yang melibatkan Selangor dan Kuala Lumpur mulai 13 Januari bagi membendung penularan pandemik itu.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut mencadangkan kem latihan pusat pada November lalu namun terpaksa membatalkannya sebaik sahaja saingan Piala Malaysia 2020 pula dibatalkan sebagai mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara.

TAN Cheng Hoe pasti resah dengan kurangnya persediaan Harimau Malaya berbanding UAE yang diuji empat perlawanan persahabatan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, “kami menyambut baik lampu hijau oleh Kementerian Belia dan Sukan (semalam) untuk Harimau Malaya kembali berlatih sambil patuhi kuarantin di MSN.

“Gerak kerja untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terlibat antaranya MSN dan kelab-kelab Liga Malaysia 2021 akan dimulakan bagi penyediaan kemudahan latihan dan pelepasan para pemain,” katanya dalam laman Facebook rasmi FAM, hari ini.

Skuad negara bakal berdepan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 25 Mac di tempat lawan dalam saingan Kumpulan G kelayakan itu sebelum menanti Vietnam di gelanggang sendiri, lima hari kemudian. Aksi terakhir mereka ialah di Thailand, 15 Jun ini.

UAE tampak lebih pesat membuat persiapan bagi memperbaiki kedudukan keempatnya di belakang Malaysia yang di tempat kedua Kumpulan G kelayakan dengan siri persahabatan menentang Uzbekistan (2-1), Tajikistan (3-2), Bahrain (1-3) dan Iraq (0-0) sejak Oktober lalu hingga bulan ini.

Harimau Malaya ditewaskan Al Abyad yang dikendalikan Bert van Marwijk 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada pertemuan pertama kelayakan mereka, 10 September 2019.

“Mengambil kira kem latihan pusat ini perlu diadakan secara kuarantin, kami perlu melakukan perancangan yang cukup teliti terutama dalam mendapatkan persetujuan MSN mengenai penginapan dan padang latihan sebelum dapat menetapkan tarikh kem latihan pusat ini.

“Turut perlu dipertimbangkan ialah pelepasan para pemain ke kem latihan ini memandangkan kelab-kelab Liga Super dan Perdana juga dalam persiapan menjelang sepak mula musim 2021, 26 Februari ini,” kata Hamidin.

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John memberitahu, soal sama ada kelayakan itu akan diteruskan seperti jadual asal 25 dan 30 Mac ini atau ditunda, bakal dimuktamadkan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) mereka pada 25 Januari ini.

“Jawatankuasa Pertandingan AFC telah bermesyuarat secara atas talian berhubung kelayakan itu, Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC 2021 dan Liga Juara Asia 2021 pada 15 Januari lalu dan akan menyarankan beberapa pilihan untuk kelulusan dan sokongan Exco,” katanya.

Jawatankuasa Pertandingan AFC dilaporkan media tempatan hari ini, turut menyarankan pembatalan Kejohanan B19 AFC di Uzbekistan, Mac ini yang seperti sudah tidak relevan apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Indonesia, Mei ini.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here