KUALA LANGAT — Seorang peragut ditahan polis selepas lapan jam meragut seorang guru wanita bersenjatakan parang di kawasan rumah kedai dua tingkat di Eco Sanctuary, Telok Panglima Garang, di sini pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata suspek seorang lelaki tempatan yang berumur 26 tahun itu ditangkap di Kampung Sijangkang kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Tangkapan dibuat susulan maklumat dari orang awam yang menghubungi polis dan menghantar video dari rakaman kamera litar tertutup (cctv) di situ.

“Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan, rondaan, kemudian mengesan serta menangkap suspek di Kampung Sijangkang petang tadi,” katanya ketika dihubungi.

Azizan berkata, ketika tangkapan dibuat, polis hanya menemui sebahagian sahaja barang mangsa yang diragut.

“Beg tangan mangsa dipercayai dibuang, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa Lee Yoke Keat, 51 tahun, didatangi suspek ketika berada di tempat letak kereta tidak jauh dari tempat kerjanya di sebuah taska antarabangsa di situ.

“Menurut mangsa, sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki tidak dikenali datang ke arahnya dan mengacukan parang.

“Suspek menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum meragut beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai.

“Ketika kejadian, mangsa baru selesai meletakkan keretanya di kawasan parkir berhadapan bangunan kedai terbabit dan berjalan kaki menuju ke tempat kerjanya,” katanya.

Beliau berkata, polis ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mendapati, terdapat pengawasan CCTV di tempat kejadian.

“Menerusi rakaman CCTV berkenaan, polis mendapati suspek warga tempatan seorang diri menaiki sebuah motosikal menggunakan sebilah parang ketika melakukan ragut,” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami bengkak pada bahagian kepala, lebam di lengan dan lutut serta sakit di bahagian atas peha dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video mengenai kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan situasi guru terbabit menjerit meminta bantuan serta cuba melarikan diri daripada suspek.

https://bit.ly/3iviwxX
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here