Oleh Amree Ahmad

PUTRAJAYA — Mungkin ada kalangan kita suka menambah nasi kosong kerana tidak cukup, namun data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini boleh dijadikan panduan rujukan.

Berdasarkan Indeks Harga Pengguna 2020 bagi bulan November lalu yang diterbitkan jabatan itu baru-baru ini, harga purata sepinggan nasi kosong di peringkat nasional ialah RM1.51.

Bagaimanapun pihak DOSM mendapati, Perlis muncul sebagai negeri yang menawarkan harga paling rendah di negara ini iaitu secara purata hanya sebanyak RM1.06 sepinggan.

Uniknya, ini diikuti kebetulan kesemua tiga buah negeri wilayah Utara semenanjung iaitu jirannya sendiri, Kedah dengan harga RM1.24, Pulau Pinang (RM1.26), Perak (RM1.41).

Selain itu, Sarawak (RM1.41), Kelantan (RM1.42) dan Negeri Sembilan (RM1.49) juga antara negeri yang merekodkan harga sepinggan nasi kosong di bawah paras kebangsaan.

Harga nasi kosong paling mahal di Malaysia menurut DOSM dikongsi bersama Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu purata RM1.88 sepinggan.

Disusuli Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM1.77), Sabah (RM1.68), Pahang (RM1.67), Selangor (RM1.59), Terengganu (RM1.58), Johor (RM1.54) dan jirannya, Melaka (RM1.51).

Dalam pada itu, DOSM mendapati harga air minuman di restoran atau kedai makan pula menyaksikan secara puratanya 69 sen bagi setiap 500 mililiter (ml) di peringkat nasional.

Menariknya kali ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncul harga paling murah iaitu hanya 48 sen diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (57 sen) dan jirannya, Sabah (58 sen).

Tidak ketinggalan Negeri Sembilan dengan harga purata 59 sen serta Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula masing-masing di bawah paras kebangsaan iaitu 60 sen.

Sebaliknya, harga minuman 500ml paling mahal di negara ini dicatatkan DOSM dikongsi dua buah negeri iaitu Sarawak dan Melaka (84 sen), disusuli Johor (80 sen) dan Kelantan (74 sen).

Ini diikuti Selangor dengan 72 sen, Pahang dan jirannya, Perak yang masing-masing dijual purata 71 sen, Kedah (68 sen) serta Perlis dan Terengganu berkongsi harga sama 64 sen.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here