Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memasang kain rentang peringatan di beberapa buah lokasi bertujuan mendidik orang ramai supaya tidak memberikan makan kepada haiwan terbiar atau berkeliaran.

Pemantauan yang dilakukan mendapati haiwan terbiar dan berkeliaran termasuklah anjing yang diberikan makanan oleh penduduk sekali gus menyebabkan populasi haiwan ini bertambah, kata Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA.

“Menurut Akta Kebajikan Haiwan, Seksyen 33, setiap individu yang memberi makanan kepada mana-mana haiwan perlu bertanggungjawab ke atasnya dan boleh dianggap sebagai pemilik haiwan tersebut,” kata MBSA dalam kenyataannya.

Sebelum ini, kain rentang yang melarang orang ramai memberi makanan haiwan liar dan terbiar telah tular di media sosial hingga menyebabkan MBSA menjadi mangsa kritikan para pencinta haiwan.

MBSA berkata, aktiviti memberi makan kepada haiwan terbiar, akan menyebabkan kawasan tersebut menjadi kotor dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kerajaan
Tempatan 1976, Seksyen 81.

Pada tahun 2020, MBSA menerima 1,840 aduan berkaitan anjing yang berkeliaran.

Mereka yang ingin membuat aduan tentang haiwan yang berkeliaran bolehlah menghubungi di talian bebas tol MBSA 1800884477.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here