SEORANG pekerja pihak berkuasa tempatan di Turki memberi makanan kepada kucing gelandangan.

Oleh Fetty Rara

HARI ini pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan arahan melarang memberi makanan kepada haiwan jalanan.

Sejurus selepas berita tersebut dilaporkan banyak pihak mempersoalkan pendirian majlis itu berdasarkan perbezaan di antara haiwan liar, haiwan gelandangan dan haiwan yang dibuang oleh manusia tidak bertanggungjawab.

Keadaannya berbeza pula di negara Turki apabila sejak pertengahan tahun lalu pada masa kemuncak ombak pertama pandemik Covid-19 di Eropah, kerajaan negara itu telah mengambil pendirian lebih bertanggungjawab dan berperikemanusiaan.

MESIN makanan kucing diletakkan di tempat awam di Turki.

Justeru, semua pihak berkuasa tempatan di Turki diarahkan supaya melindungi dan memberi makanan kepada ratusan ribu anjing dan kucing gelandangan sepanjang pandemik Covid-19.

Menurut media tempatan, kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Turki mengarahkan supaya makanan dan air diletak di tempat-tempat strategik, termasuk di taman awam.

Kenyataan itu turut menggesa supaya langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan agar semua haiwan berkenaan tidak kebuluran.

Masyarakat Turki sememangnya berpegang kuat kepada budaya menjaga haiwan yang memerlukan bantuan.

MESIN makanan anjing di Turki.

Oleh yang demikian adalah kebiasaan bagi pakar veterinar menyuntik sebanyak mungkin haiwan jalanan dengan dibantu oleh orang ramai dalam menjaga keselamatan makhluk tersebut.

Contoh yang ditunjukkan oleh negara Islam maju seperti Turki elok untuk dijadikan panduan pihak berkuasa di sini untuk dilaksanakan dasar-dasar berhubung penjagaan haiwan jalanan secara bertamadun.

Budaya menjaga haiwan sebati di negara Islam Turki, hinggakan tempat berteduh untuk kucing turut disediakan di tempat awam.

Merujuk kepada arahan pihak MBSA pula, perlu dipersoalkan sama ada mereka memahami perbezaan di antara haiwan liar, haiwan gelandangan dan haiwan yang dibuang.

Kerajaan sesebuah negara, termasuk kerajaan negeri bukan sekadar kerajaan untuk manusia, tetapi juga kepada haiwan dan hidupan lain.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here