Oleh Ahmad Abd Hamid

MULAI 22 Januari enam lagi negeri, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu hingga 4 Februari.

Seminggu sebelumnya, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sabah, Johor, Melaka, Kelantan, dikenakan perintah sama mulai 13 Januari hingga 26 Januari (Kelantan mulai 16 Januari).

Ini menjadikan kesemua negeri kini dikenakan PKP, kecuali Sarawak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Namun beberapa daerah di Sarawak juga dikenakan PKP iaitu Sibu, Selangau dan Kanowit mulai 16 Januari hingga 29 Januari.

Tiada jaminan selepas tempuh dua minggu PKP akan berakhir. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sudah pun membayangkan PKP mungkin berlanjutan sehingga empat minggu.

Oleh kerana PKP kali ini dalam dua lapis, jika pun PKP negeri-negeri lapis pertama tamat pada tarikhnya 26 Januari, rentas ke negeri-negeri lapis kedua yang tamat pada 4 Februari masih tidak dibenarkan, begitulah sebaliknya.

Mengambil kira jumlah penularan harian Covid-19 kini sudah mencecah lebih 4,000 kes, dengan catatan dengan 4,008 kes pada Rabu 20 Januari, tidak menghairankan jika tempuh PKP bersambung.

Angka 4,000 hingga 5,000 kes memang diunjurkan menjelang April atau Mei. Tetapi kini baru bulan Januari sudah mencecah unjuran tersebut. Apakah mungkin menjelang April atau Mei kadar penularan akan melebihi unjuran?

Tidak mustahil ini berlaku jika rakyat di negara ini tidak berubah sikap dan terus memandang ringan bahana pandemik Covid-19. Ramai yang mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

Ini adalah ciri asas SOP yang perlu dipatuhi oleh orang ramai sebagai kaedah perlindungan diri. Namun ramai yang mengabaikan.

Lihat sahaja sebelum ini apabila kerajaan memberi kelonggaran rentas negeri dan daerah. Orang ramai berbondong-bondong bergerak sama ada untuk balik kampung atau melancong dan sebagainya.

Lokasi Rawat dan Rehat (R&R) sepanjang lebuh raya sesak dipenuhi orang ramai. Begitu juga dengan stesen pengangkutan awam atau terminal feri, orang ramai berhimpit-himpit.  Dalam keadaan begini SOP diabaikan, penjarakan fizikal diketepikan.

Kerajaan memberi kelonggaran bagi membolehkan orang ramai melepaskan rasa bosan akibat lama terkurung. Sepatutnya langkah kerajaan ini dihargai. Berpada-padalah apabila berjalan atau melancong, jangan sampai sesak dan berhimpit-himpit. Lebih penting, SOP mesti dipatuhi.

Sayangnya mentaliti kebanyakan rakyat tidak begitu. Apabila sudah berkumpul beramai-ramai, mereka lupa diri. SOP dibuang ke laut. Kesannya, kelonggaran diberi menyebabkan penularan kes meningkat.

Lalu siapa yang harus disalahkan? Orang ramai sendiri menjadi penyumbang kepada kenaikan angka ini. Walau pun denda dikenakan terhadap mereka yang ingkar SOP, mereka tidak takut. Nampaknya ramai yang kaya dan bersedia membayar kompaun RM1,000.

Bilakah rakyat negara ini akan berubah sikap dan patuh kepada peraturan tanpa terlalu dikongkong dengan undang-undang atau peraturan?

Haruskah setiap perkara yang baik ‘dipaksakan’ dengan undang-undang? Tidak bolehkah dilakukan dengan rasa tanggung jawab dan kesedaran sendiri?

Misalnya dalam kes Covid-19. Keadaan sudah semakin kritikal di negara ini. Segala langkah pencegahan diambil untuk membendung penularannya. Tetapi untuk mematuhi SOP pun rakyat perlu ‘diugut’ dengan kompaun. Tidak bolehkah ia dilakukan dengan rela?

Semua ini menampakkan sebilangan besar rakyat belum matang dan belum mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. Malaysia dianggap negara kelas pertama tetapi sayang ramai rakyatnya bermentaliti kelas ketiga.

Sementara kerajaan melaksanakan pelbagai kaedah mengekang pandemik Covid-19, rakyat  hanya diminta membantu sedikit sahaja, iaitu mematuhi SOP. Terlalu sukarkah memberi sumbangan kecil ini?

Sedar dan insaflah, mereka yang berada di barisan hadapan bertungkus lumus berusaha membendung penularan pandemik pembunuh itu sehingga mereka sendiri dijangkiti. Dianggarkan lebih1,450 petugas perubatan telah dijangkiti dan dikuarantin. Ertinya jumlah petugas perubatan menyusut.

Kemampuan hospital juga semakin tenat. Kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perbuatan Universiti Malaya (PPUM) sudah mencapai 100 peratus. Di Hospital Sungai Buluh pula sudah mencecah 80 peratus.

Mungkin yang memandang ringan Covid-19 ini kerana diri sendiri atau kaum keluarga belum terkena. Cuba hayati kisah mereka yang telah terkena, atau keluarga mereka. Ambil iktibar betapa siksanya mereka melalui detik getir itu.

Pandemik Covid-19 bukan main-main. Malah kini ia lebih sukar dikesan kerana tidak bergejala. Justeru berhati-hati dan sentiasa beringat. Patuhi SOP, duduk di rumah. Bukan sahaja ‘kita jaga kita’ tetapi ‘kita jaga semuanya’.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here