Cik B kini lebih yakin dengan kemampuan diri.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MULANYA beliau dikenali umum sebagai salah seorang anak pemilik kosmetik Vida Beauty, Datuk Seri Vida kerana secara lahiriahnya, Cik B adalah seorang remaja yang pemalu.

Sifat pemalunya itu jelas terserlah sewaktu menghadiri sidang media memperkenalkan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk menguruskan bahagian Food & Beverage (F&B) dalam perniagaan baharu milik Vida pada 2019.

Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin,16, mengaku bahawa beliau malu dan takut berhadapan dengan orang ramai, sedangkan sebagai CEO, sifat tidak yakin diri perlu disingkirkan.

Saranan mamanya untuk berlakon membuatkan Cik B lebih berani untuk berhadapan dengan orang ramai.

Itu semua dulu, sewaktu Cik B hanya berani melakukan aksi selamba di media sosial saja. Kini semuanya sudah berubah dan Cik B juga dilihat sudah berani ke depan dan berhadapan dengan orang ramai.

Perubahan awal yang dilakukan oleh Cik B adalah memberanikan diri berlakon drama Lelaki Lingkungan Cinta, arahan Emi Sufian. Ramai tak sangka remaja pemalu itu mampu memberi lakonan yang terbaik sebagai seorang pendatang baharu.

Drama terbitan Zeel Production itu belum selesai penggambaran lagi, Cik B sudah mendapat beberapa tawaran berlakon. Selepas Lelaki Lingkungan Cinta, Cik B dilihat berlakon dalam Legenda Puteri Felora dengan watak Mangko, seekor arnab kesayangan Felora, lakonan Ruhainies.

Selain menyanyi dan berlakon, kini Cik B cuba bidang lawak pula.

Cik B yang saya temui sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, tanpa berselindung mengakui beliau berlakon disebabkan oleh mamanya.

“Berlakon sebenarnya penat, kena tunggu lama dan pergi ke set awal, lepas tu balik lewat. Itu semua bukan jadual harian Cik B, jadi terasa bebanlah sikit.

“Lagipun Cik B kena bawa watak yang berbeza dengan karakter diri Cik B. Nak buat macam mana, suka atau tak suka, Cik B kena buat juga bila mama suruh. Cik B kena dengar cakap mama,” katanya terus terang.

Cik B dalam kumpulan ABC untuk Muzikal Lawak Superstar.

Sebenarnya, apabila berbual dengan Cik B, kita akan nampak sifat naifnya yang tak pandai berpura-pura atau memberi jawapan palsu. Apa yang dicerita oleh Cik B adalah perkara benar dan kerana ketulusannya itulah Cik B amat disenangi ramai.

Selain berlakon drama, perkara yang tak dijangka dilakukan oleh Cik B adalah menyertai Muzikal Lawak Superstar 2020 dalam kumpulan ABC bersama Achok Chilok dan Cikwan Chilok.

Boleh dikatakan tiap minggu penampilan Cik B yang selamba berjaya mencuit hati penonton dan juri tetap program tersebut. Perlahan-lahan kita dapat melihat perubahan dirinya, daripada seorang pemalu dan tidak yakin diri, kini Cik B berjaya mengatasi kelemahannya itu.

“Saya tetap orang yang sama, cuma bezanya, sekarang ini saya berani berjumpa orang.  Dulu kalau suruh jumpa orang, saya akan menangis kerana saya takut untuk berjumpa orang,” katanya jujur.

Tolonglah merupakan single sulung Cik B.

Sebagai seorang public figure Cik B turut menjadi perhatian ramai dan tidak kurang juga yang memberi komen negatif. Jelas Cik B, beliau suka mengambil sikap tidak mengendahkan komen warganet kerana itu adalah jalan terbaik agar hatinya tak sakit.

“Sesekali saja Cik B balas komen, selebihnya Cik B abaikan. Cik B tak fikir apa yang mereka cakap. Kadang-kadang apa yang netizen komen memang menyakitkan hati tapi Cik B adalah seorang yang kuat untuk menempuhi,” katanya yang tidak mudah melatah dengan kata-kata warganet.

Jelas Cik B, antara komen yang dianggap ‘kejam’ untuknya, apabila ada netizen kata, bodoh…apalah tak pandai nyanyi nak menyanyi. Berbanding netizen yang pandai mengomen tanpa menunjukkan sebarang hasil, sekurang-kurangnya Cik B sudah memiliki single sulung, Tolonglah.

Malah lagu ciptaan Cik B dan Vida yang dimuat naik dalam YouTube Seventeen Eleven Music, sejak 1 Disember 2020 telah mendapat tontonan sebanyak 4.5 juta.

“Sebagai orang baharu, Cik B amat bangga dan tak sangka video muzik Tolonglah boleh mendapat tontonan tiga juta dalam tempoh singkat selepas dimuat naik. Kalau ikut perkiraan Cik B, rasanya sejuta tontonan pun susah untuk dapat, tapi alhamdulillah, rezeki,” akuinya.

Sebagai Mangko dalam drama Legenda Puteri Felora.

Bagi Cik B, menghasilkan lagu Tolonglah adalah satu kejayaan peribadi kerana impiannya untuk menjadi penyayi sejak kecil sudah menjadi kenyataan.

Biarpun ada yang menganggap Cik B adalah Yonnyboii versi wanita kerana suara mereka seakan sama, beliau tidak ambil kisah.

Sebaliknya, kata Cik B, menerusi lagu, beliau dapat meluahkan apa yang tersirat di sudut hatinya selama ini. Orang ramai yang menonton video muzik Tolonglah mula faham kenapa Cik B lebih selesa bersama mamanya.

Cik B kini banyak berubah daripada pemalu kini berani berhadapan dengan orang ramai.

“Memang rasa janggal untuk bertemu ayah kerana Cik B pernah tengok apa yang dia telah buat pada mama. Mama adalah orang yang paling Cik B sayang dan Cik B akan jaga mama sepenuh hati.

“Walaupun Cik B ‘tak ada’ ayah tapi Cik B ada mama yang boleh menjadi pelindung. Mama adalah seorang independent women dan mama tidak perlu seorang suami untuk menjadi wanita berjaya. Mama tidak perlu apa-apa lagi,” luahnya.

Cik B dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta.

Meskipun kehidupan Cik B dikelilingi kemewahan, namun bagi remaja yang lebih matang daripada usia sebenar, menganggap kebahagiaan bukan terletak pada harta benda tapi pada hati yang baik.

“Harta yang terbaik buat Cik B adalah kasih sayang mama sebab ia tak boleh dijual beli. Kalau boleh Cik B tak nak mama kahwin lagi, sebab sebelum ini Cik B telah menaruh sepenuh kepercayaan kepada lelaki yang mendampingi mama tapi akhirnya mereka tetap menganiayai mama,” kata Cik B tentang isi hatinya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here