MENTERI Sumber Manusia, M Saravanan, dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengecam kerajaan Kedah yang membatalkan cuti umum Thaipusam yang sepatutnya disambut pada 28 Jan ini.

Dalam dua kenyataan berbeza dikeluarkan semalam, Saravanan dan Ramasamy berkata dengan pembatalan sambutan perayaan berkaitan Thaipusam kerana Covid-19 bukan bermakna tiada keperluan untuk cuti umum.

Kata Saravanan, penganut Hindu di Malaysia jelas marah dan kecewa dengan pengumuman dibuat Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) kerana ia perayaan yang disambut penganut Hindu berasaskan kepada kalendar agama itu.

“Hanya kerana kita tak pergi ke kuil ia tidak bermakna kita tak meraikannya di rumah,” katanya.

Tambahan pula kata Saravanan Thaipusam bukan untuk melawat rakan-rakan dan keluarga sebaliknya suatu hari untuk kami menumpukan masa untuk dewa Muruga melalui amalan tertentu.

“Walaupun tahun ini orang Hindu tidak dibenarkan ke kuil, kami boleh melakukan amalan di rumah dan buat apa yang patut untuk menunaikan nazar kami,” katanya.

Timbalan presiden MIC itu juga mengakui penentuan cuti umum untuk Thaipusam adalah hak prerogatif kerajaan negeri.

Pun begitu katanya sebagai sebuah parti kerajaan PAS patut mendapatkan pandangan wakil orang India di peringkat persekutuan sebelum membuat keputusan berkenaan.

Gagal faham logik sederhana

Semalam media melaporkan Kedah membuat keputusan untuk membatalkan cuti umum sempena Thaipusam tahun ini kerana semua aktiviti bersempena perayaan itu tidak dibenarkan selaras dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Tidak ada cuti peristiwa. Oleh kerana tidak ada perayaan tahun ini, tidak ada cuti umum,” kata Sanusi.

Untuk rekod Thaipusam merupakan cuti peristiwa untuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor. Bagaimanapun negeri lain tidak membatalkan cuti berkenaan walaupun larangan sambutan itu turut dikenakan di negeri terbabit.

Kata Saravanan MIC tidak pernah dirujuk oleh Kedah sebelum keputusan itu dibuat dan parti itu tidak akan membenarkan pembatalan itu dibuat.

Menurutnya langkah diambil Kedah itu menjejaskan peluang Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang kerana banyak kawasan di negeri itu mempunyai jumlah pengundi dalam kalangan beragama Hindu yang besar.

Di sebalik larangan yang ditetapkan kerajaan, acara di kuil masih boleh dijalankan tetapi dengan jumlah kehadiran terhad. Perarakan kavadi pula tidak dibenarkan sama sekali.

Sementara itu Ramasamy berkata walaupun pelbagai bentuk perayaan dibatalkan, ia tetap tidak menafikan kepentingan Thaipusam.

“Thaipusam tidak terbatal dengan adanya pembatalan sambutan, sebaliknya akan tetap dirayakan secara terkawal di rumah. Malangnya Sanusi gagal memahami logik yang sederhana.

“Dia tidak memiliki kefahaman untuk memisahkan antara pembatalan acara yang berkaitan dengan Thaipusam dengan cuti sempena acara tersebut.

“Pandemik ini hanya membatalkan acara yang berkaitan dengan Thaipusam, tetapi bukan kepentingan festival keagamaan itu sendiri.

“Justeru mengapa dia harus membatalkan cuti atau cuti sempena Thaipusam? Ini bukan urusan dia,” kata Ramasamy.

https://bit.ly/3c1xJ8S
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here