fotoBERNAMA.

SHAH ALAM — Bekas Ketua Bahagian Sumber Manusia Puspakom Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan iaitu memalsukan dokumen untuk menipu pada tahun 2016.

Noor Marliza Ishak, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan utama, dia dituduh memalsukan suatu dokumen iaitu Invois Kezens Gale bernilai RM52,500 di pejabat Puspakom, Wisma DRB Hicom di Seksyen U1 Shah Alam pada 24 Jun 2016 dengan niat untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, Noor Marliza didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu Invois Kezens Gale berjumlah RM52,500 dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di lokasi dan tarikh yang sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan.

Noor Marliza yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut memandangkan dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk melunaskannya.

Bagaimanapun Rihaida mengekalkan jumlah ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 27 Jan ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA
 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here