SHAH ALAM — Sikap gilakan kebendaan atau materialisme serta kejahilan dalam agama antara punca utama gejala rasuah masih berleluasa di negara ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ada segelintir masyarakat sanggup melanggar perintah ALLAH SWT kerana jadi ‘hamba wang’.

“Sebagai manusia, kita perlu bendung kegilaan kepada kebendaan. Selagi manusia tergila-gilakan dan memuja kebendaan, selama itu masalah rasuah sukar untuk diselesaikan.

“Nabi bersabda: “Celakalah manusia yang sudah menjadi hamba kepada dinar (wang).” Demi kebendaan dan hamba kepada wang, manusia sanggup lakukan apa sahaja walaupun ia haram di sisi agama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai gerakan yang dipelopori Sinar Harian untuk mempromosi kan agenda jihad memulihkan moral bangsa khususnya dalam memerangi rasuah yang masih mengakar dan membelenggu negara ketika ini.

Mohamad Shukri berkata, umat Islam sedar perbuatan rasuah juga adalah satu dosa sepertimana meninggalkan puasa atau tidak menutup aurat.

Namun katanya, Islam perlu dilihat secara menyeluruh dan bukannya serpihan untuk memastikan segala kemungkaran ditangani secara berkesan.

Kata Mohamad Shukri lagi, Islam itu bingkainya adalah akidah, syariat dan akhlak, justeru pengukuhan keimanan perlu bermula dari kecil lagi supaya tidak terpengaruh anasir negatif.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, jahil agama juga menyebabkan pemberi dan menerima rasuah tidak tahu perbuatan itu haram dan dimurkai ALLAH SWT.“Orang jahil lebih berani melakukan perkara negatif kerana mereka tidak dapat berfikir apa akibat yang akan menimpa mereka termasuk kemurkaan ALLAH serta di akhirat kelak,” katanya.

Tegasnya, pengetahuan mengenai hukum memberi dan menerima rasuah juga bergantung kepada iman seseorang.

“Kalau mereka betul-betul beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat, maka mereka akan takut walaupun dosa kecil.

“Tetapi disebabkan keimanan kepada ALLAH SWT dan hari akhirat kurang, maka dengan itu mereka tidak berasa apa-apa (rasuah sebagai dosa besar),” katanya.

Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/120301/BERITA/Nasional/Gilakan-kemewahan-punca-rasuah-berleluasa

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here