ISLAM ialah agama sangat indah jika seluruh ajarannya diamal dan dijadikan cara hidup. Malangnya, sebahagian besar masyarakat kita menganggap Islam hanya dalam urusan yang membabitkan perkara seumpama perkahwinan dan kematian. Malah, tempatnya pula adalah dalam masjid atau di Makkah dan Madinah.

Akibat salah faham ini, kecantikan Islam tidak terserlah, walaupun ajarannya mencakupi segenap aspek kehidupan manusia daripada sekecil perkara seperti adab masuk ke bilik air hingga kepada sebesar-besar urusan seperti memerintah sesebuah negara dan hubungan antarabangsa atau hubungan antara agama.

Antara perkara penting bagi menjamin tertegaknya keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat ialah larangan Islam terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Umum mengetahui kesan dan akibat jika rasuah berleluasa dalam sesebuah masyarakat.

Sekiranya rasuah dibiarkan berleluasa, pincanglah sistem keadilan dan keharmoniannya. Mereka yang berkuasa, hakim dan penguat kuasa akan sewenangnya membuat keputusan tanpa berdasarkan pertimbangan keadilan yang saksama kerana mempunyai berkepentingan peribadi atau kumpulan.

Malangnya, kajian menunjukkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan umat Islam khususnya pemimpin Islam antara yang tertinggi di dunia. Berdasarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah 2019, tiada satu pun negara majoriti umat Islam yang menduduki senarai 20 negara paling bersih di dunia.

Negara Islam yang terbaik mampu mencapai tangga tertinggi ialah Brunei Darussalam yang menduduki tangga ke-30, manakala Malaysia sendiri menduduki tangga ke-51, lebih baik sedikit daripada 2018, iaitu pada tangga ke-61.

Di negara ini, rasuah berlaku dalam segenap organisasi. Pernah dikatakan sebuah agensi penguat kuasa yang ramai kakitangannya terbabit rasuah, mengambil tindakan drastik dengan memilih hanya graduan lulusan pengajian Islam untuk mengisi perjawatan baharu.

Namun, ia tidak juga menyelesaikan masalah, bahkan dikatakan menjadi semakin teruk. Lulusan agama semata-mata tidak memadai, tetapi ia perlu kepada individu menjiwai dan menghayati nilai agama yang dipelajarinya itu.

Kita digemparkan dengan berita kemasukan daging import yang tidak jelas status halalnya, tetapi menyalah guna cap logo halal sehingga menimbulkan kegelisahan masyarakat.

Perkara ini masih dalam siasatan, tetapi sudah ada sebahagian yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.

Namun, apa yang ingin dinyatakan adalah betapa lunturnya iman sebahagian masyarakat kita apabila sanggup bersubahat dalam membekalkan makanan tidak halal untuk disuapkan ke mulut umat Islam di negara ini.

Betapa harapan dan amanah yang diberikan oleh umat Islam di negara kita dikhianati dengan begitu sahaja.

Begitu juga pembuangan sisa kekotoran ke dalam sungai sehingga menjejaskan sebahagian besar pengguna air di Lembah Klang yang kerap berlaku sejak akhir ini. Kita tertanya-tanya apakah puncanya sikap tidak bertanggungjawab sedemikian.

Cuba kita bandingkan dengan sikap ditunjukkan masyarakat Jepun dalam menjaga sungai mereka sedangkan rakyat negara itu bukan majoriti beragama Islam. Kedua, kita juga hairan bagaimana syarikat yang tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh terus beroperasi di tepi sungai tanpa sebarang tindakan. Apakah wujud rasuah di sana?

Hakikatnya, jenayah rasuah sangat keji sehingga Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Imam Ahmad dan Ibnu Majah bersabda: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Melihat berleluasanya rasuah dalam masyarakat kita pada hari ini dalam segenap aspek kehidupan bermasyarakat sehingga boleh menyebabkan tumbuhnya daging kita daripada sumber haram, kerajaan sewajarnya melakukan pelbagai usaha dan kempen membendung gejala ini.

Suatu ketika dahulu kita pernah mendengar kempen Bersih, Cekap dan Amanah. Kempen seumpama ini perlu dihidupkan kembali dan dirancakkan lagi.

Selain kempen kesedaran dan penghayatan integriti tinggi, kerajaan wajar menimbangkan untuk mengenakan hukuman lebih tinggi terhadap rasuah yang memberi impak yang besar kepada masyarakat seperti rasuah dalam logo halal terhadap daging dan rasuah dalam pembuangan sisa ke dalam sungai dan berkaitan dengannya.

Ini semua adalah perlakuan pengkhianat dan boleh dikategorikan sebagai kumpulan pemberontak (bughah) dalam konteks syariat Islam. Pihak berkuasa agama wajar membincangkan kesalahan sebegini untuk dimasukkan dalam pemberontakan.

Mereka ini walaupun tidak sampai mengangkat senjata, berperang atau menggulingkan kerajaan seperti ditetapkan ulama silam dalam kitab klasik, peperangan moden hari ini yang dilakukan adalah lebih halus membabitkan makanan haram ‘dihalalkan’ dan juga air bersih yang menjadi kotor serta tidak disesuai diminum lagi oleh jutaan pengguna.

Ini juga satu bentuk peperangan dan sewajarnya hukuman lebih berat dikenakan agar menimbulkan kegerunan kepada masyarakat untuk melakukan kesalahan ini.

Dr Nik Roskiman Abdul Samad
Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/01/778737/laksana-hukuman-mampu-gerunkan-pihak-terbabit-rasuah
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here