FOTO: FB POLIS DAERAH PJ.

Oleh Adi Sukma, LLB, LLM. dan Dato Prof Emeritus Hashim Yaacob, FRCPath, Dip Islamic Studies.

MEMBACA cerita tentang keperihatinan Ketua Polis Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faizal membantu orang dalam kesusahan, kami terus teringat kepada kisah Khalifah Saidina Umar Al-Khattab r.a. yang telah dijaminkan syurga oleh Rasulullah.

Khalifah itu telah menyamar sebagai orang biasa bersama pembantunya Aslam untuk melihat sendiri keadaan rakyat. Di Harrah, Khalifah mendengar tangisan beberapa orang anak kecil kerana lapar. Ibu mereka cuba menenangkan mereka dengan pura-pura memasak makanan. Bila ditanya Khalifah kenapa tidak diberi masakan itu kepada anak, si ibu menjawab yang dimasak itu hanyalah batu, bukan makanan.

Dia mengharapkan dalam keletihan menuggu, anak akan tertidur dan lupakan lapar. Si ibu tiada makanan untuk dimasak. Suaminya baru saja meninggal.

Mendengar itu, menitislah air mata Khalifah, hingga membasahi pakaiannya. Lalu bergegas ke Baitulmal, mengambil sekarung makanan untuk dimasak oleh si ibu. Khalifah memikul di bahunya karung itu ke rumah si ibu.

Melihat itu, Aslam lalu menawarkan diri untuk memikul karung itu, tetapi Khalifah tidak membenarkannya seraya berkata, “Mahukah engkau wahai Aslam , memikul beban dosaku di akhirat nanti?”.

ACP Nik Ezanee Ketua Polis Petaling Jaya, telah menjinjing sendiri kampit makanan untuk disampaikan kepada seorang ibu tunggal beranak tiga yang dalam kelaparan itu.

Sebelum pada itu, si ibu itu telah ditangkap kerana mencuri sedikit makanan di pasaraya kerana tiada daya untuk membeli makanan untuk tiga orang anaknya yang kelaparan. Kasih ibu kepada anaknya tiada akhirnya, dan sanggup berkorban melakukan apa saja.

Benarlah, kasih ibu membawa ke syurga.

ACP Nik Ezanee mengetahui tentang kejadian itu lalu bertindak segera dengan keperihatinan yang luar biasa.

Aku kira tentu beliau juga arif tentang cerita Khalifah Umar yang aku ceritakan itu. Kes kesalahan mencuri oleh si ibu itu telah digugurkan.

Walaupun mencuri adalah satu kesalahan di segi moral dan agama, tapi keadaan yang membuat seseorang itu mencuri hendaklah diambil kira kalau kita ingin berlaku adil.

Allah SWT Yang Maha Pengampun, berfirman:

1. ” Sesiapa yang terpaksa memakan makanan yang diharamkan kerana lapar, bukan kerana ingin berbuat dosa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ( Al- Ma’idah,3 ).”

2. “Dan sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kalian apa yang diharamkan, kecuali yang terpaksa kalian makan (Al-An’am, 119).”

3. “Sesiapa dalam kondisi terpaksa memakannya, sedangkan ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas, maka ia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang(Al-Baqarah,173)”

ACP Nik Ezanee bin Mohd Faizal telah mengangkat nama baik PDRM dan patut disanjung.

Beliau telah mennunjukkan betapa kebaikan dan kerendahan hati dalam berpangkat boleh memupuk kasih dan sayang antara satu sama lain.

Kami doakan supaya ia menjadi teladan dan ikutan semua anggota PDRM.

Semoga Allah SWT mengganjari ibadah beliau.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here