WAKIL pelajar yang menyertai lawatan ke ibu pejabat parti pembangkang DAP menganggap dakwaan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) diminta letak jawatan sebagai penolong rektor UiTM Raub sebagai tidak wajar.

Pelajar 23 tahun itu berkata dakwaan tersebut tidak wajar kerana para pelajar subjek PAD 270 – Malaysian Politics (Politik Malaysia) sendiri yang memilih untuk melawat ibu pejabat parti politik berkenaan.

Menurutnya, lawatan sambil belajar itu diadakan semata-mata untuk memenuhi silibus subjek.

“Jika benarlah dakwaan (yang tular) itu, ia tak wajar langsung kerana kami sendiri yang pilih nak pergi lawatan untuk belajar sebab ada dalam silibus subjek PAD 270.

“Kami pergi bukan untuk dapatkan ideologi yang membuatkan kami masuk parti itu, kami hanya nak belajar lebih lanjut untuk mengenali parti-parti politik di Malaysia ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Malaysiakini pada 20 Jan melaporkan surat terbuka tulisan sembilan alumni Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), UiTM Raub yang memohon penjelasan UiTM mengenai dakwaan Che Hamdan Che Mohd Razal dipaksa meletakkan jawatan sebagai penolong rektor UiTM Raub.

Alumni pelajar menerusi surat tersebut, menganggap insiden itu menyayat hati dan tidak wajar berlaku di dalam institusi pendidikan tinggi jika benar dakwaan bahawa Che Hamdan Che Mohd Razal dipaksa letak jawatan.

‘Jumpa Lim Kit Siang’

Lawatan sambil belajar yang dimaksudkan diadakan pada 2 Disember 2019 dan disertai lebih kurang 41 pelajar.

Menurut pelajar yang menyertai lawatan itu, mereka memaklumkan kepada DAP berkenaan objektif mereka melawat ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

“Objektif kami adalah untuk kenal parti politik di Malaysia, dan kami sendiri pilih DAP.

“Kami berjumpa dengan YB Lim Kit Siang. Pihak DAP hanya menceritakan penubuhan dan sejarah DAP. Tidak lebih dari itu.”

Dia juga berkata pelajar yang mengikuti lawatan itu dapat menambah pengetahuan mereka tentang parti politik pembangkang dengan lebih jelas.

“Tiada unsur atau niat untuk kami menjadi ahli parti itu. Itu hanyalah lawatan sambil belajar yang beri kami pendedahan terhadap dunia sebenar, terhadap sejarah dan latar belakang suatu parti politik,” katanya.

Pelajar itu menegaskan mereka sebagai pelajar fakulti sains politik sepatutnya mempunyai hak dan kebebasan untuk belajar tentang parti-parti politik dan tidak dikaitkan dengan ideologi parti itu sendiri.

“Kami pelik perkara ini menjadi isu sedangkan kami pergi untuk belajar, bukan untuk berpolitik.

“Kalau betul (dakwaan itu), adakah satu kesalahan kami pergi lawatan untuk belajar?

“Jadi apa gunanya silibus yang wujud untuk kami belajar tentang parti politik di Malaysia?” soalnya.

https://bit.ly/3iDzCdq
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here