Caption CEO Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Md.Yusop (tengah) menyampaikan sumbangan kepada suami wanita yang tular mencuri untuk anaknya.

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Lembaga Zakat Selangor (LZS) turun padang untuk melawat keluarga seorang wanita yang dilaporkan mencuri kek dan kool fever di Petaling Jaya kelmarin.

Sesi turun padang tersebut adalah untuk pihak LZS memahami isu sebenar yang berlaku hingga menyebabkan pelbagai spekulasi berlaku.

Menurut kenyataan pihak LZS di Facebook mereka, pihaknya bertanya sendiri kepada keluarga tersebut kenapa perlu bertindak sehingga menyalahi undang-undang.

“Dengan nada sayu suami menerangkan, si isteri tidak berniat langsung untuk mencuri.

“Namun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan si suami yang bergaji hari mula terjejas. Ada masa, apabila ada kerja barulah bergaji,”katanya.

Kenyataan LZS menyatakan, kelangsungan hidup keluarga tersebut banyak bergantung dengan bantuan zakat.

Jelasnya lagi, sejak tahun 2018 keluarga terbabit telah didaftarkan sebagai asnaf LZS.

“Alhamdulillah, mereka disantuni dengan bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan untuk anak-anak dan bantuan Hari Raya.

“Menurutnya lagi pada hari kejadian, anak-anaknya teringin untuk makan ayam. Lalu dengan wang yang ada, digunakan memenuhi kehendak anak dikasihi,”katanya.

LZS memberitahu lagi, tindakan spontan isterinya itu menyebabkan dia tidak cukup wang untuk membayar harga kek dan plaster kebah demam yang dibeli.

Ujarnya lagi, kasih ibu terhadap anak-anak membuatkan dia tidak berfikir panjang dan mengambil tindakan luar batasan undang-undang.

“Mereka benar-benar menyesal atas tindakan dan perbuatan mereka.

“Nasihat dan saranan kami titipkan juga untuk keluarga ini. Dalam pertemuan tersebut, sumbangan berbentuk makanan dan kewangan berjumlah RM500 kepada keluarga ini, “katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Md.Yusop hadir menyampaikan sumbangan tersebut.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here