FOTO: Datuk Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd.Faizal sambil diperhatikan Siti Hawa/ Foto: FB Datuk Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Kesediaan seorang suami menjual kereta Proton Persona miliknya bagi menampung kos rawatan sakit kronik isterinya telah menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk turut menghulurkan sumbangan.

Mohd Faizal Abdul Wahid, 40, berkata, beliau bersedia menjual kereta kerana mahu mendapat wang bagi merawat segera isterinya Siti Hawa Alias,39, yang menghidap kanser payudara tahap satu.

“Saya tahu kereta Proton Persona itu banyak kegunaannya untuk keluarga saya tetapi rawatan untuk isteri saya lebih mustahak.

“Sebelum ini saya sudah membuat rayuan kepada pelbagai pihak tetapi syarat-syarat yang dikenakan membuatkan saya nekad menjual kereta milik saya,”katanya kepada Bebas News di sini.

Menurut Mohd.Faizal, isterinya bakal dibedah pada 25 Januari ini di KPJ Shah Alam dengan kos sebanyak RM22,000 untuk membuang sel kanser di bahagian ketiak.

Setakat ini kos yang diperlukan mencukupi tetapi wang masih diperlukan untuk pemeriksaan yang selanjutnya.

Datuk Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) Mohd.Faizal (kiri) bergambar di sisi Proton Persona yang hendak dijual demi kos rawatan Siti Hawa./ Foto: FB.

“Saya pada saat ini sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan rawatan isteri saya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Biarlah ada yang mengecam diri saya hanya Allah SWT tempat saya mengadu dan memohon pertolongan, “katanya.

Ditanya kenapa tidak mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang kosnya lebih rendah, Mohd Faizal menjelaskan ini adalah usaha beliau untuk mengelak sel kanser isterinya merebak menjadi lebih parah.

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya, saya tidak sanggup melihat penderitaan isteri saya sejak dikesan menghidap kanser ini.

“Demi kedua anak perempuan kami saya akan berjuang bagi memastikan Siti Hawa kembali sembuh, “katanya.

Terdahulu Raja Muda Selangor dan Dr.Zulkifli telah menyampaikan sumbangan untuk kos pembedahan tersebut.

Kepada orang ramai yang ingin membantu menampung kos rawatan lanjut Siti Hawa boleh memasukkan sumbangan ke akaun Maybank 162218334339 milik Mohd.Faizal Wahid atau menghubungi Faizal di talian 019 282 2650.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here