Oleh Datuk Prof Dr Ahmad Murad Merican

MALAH, bukan sahaja mengkaji DAP, siswa-siswi Melayu juga perlu kaji masyarakat China – budaya pemikiran, politik dan ekonomi.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) hendaklah meluaskan kesedarannya. Kaji gajah di depan mata.

Tawarkan program ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi dan Politik Cina), atau Ijazah Sarjana Muda Sastera (Masyarakat dan Ekonomi Cina).

Isu parti DAP sebagai lawatan sambil belajar pelajar subjek Politik Malaysia dapat juga di samakan dengan pada suatu masa dulu pelajar kewartawanan melawat bilik berita surat khabar Harakah di ibu Pejabat PAS berdekad yang lalu.

Pada masa itu, PAS adalah parti pembangkang. Atau apakah pelajar kewartawanan/media tidak boleh melawat untuk mempelajari urusan penerbit Rocket, atau untuk memahirkan dalam pengendalian penerbitan radio, melawat sambil belajar di sebuah stesen radio yang dikatakan membawa fahaman liberal yang kritikal terhadap institusi Melayu dan Islam?

Apakah hanya Utusan Malaysia atau RTM yang boleh dilawati untuk meluaskan pengalaman mereka?

Sesebuah program dan universiti itu mestilah mengatasi politik kepartian.

Kita faham UiTM adalah sebuah institusi Bumiputera. Namun sebagai universiti, UiTM membekalkan ilmu, kepintaran dan kemahiran, dalam suasana dan sikap yang terbuka.

Bukan sikap dan orientasi sempit dan semput yang dipaparkan oleh ‘profesor-profesor yang berkualiti’ di Shah Alam Itu.

Adakah ini menjadi jalan pendidikan ilmiah dan intelektual bagi sebuah universiti Melayu? Ini sudah jadi pemikiran jumud.

Retorik global yang diuar-uarkan selama ini tidak membawa makna jika gajah di depan mata tidak dapat ditangani secara yang patut.

Untuk menangani gajah itu, kenal pasti bahawa ia hakikatnya seekor gajah, bukannya melihat hanya ekor lalu mengakui itulah gajah, atau memberi nama lain dari hakikat sedangkan itu ekor gajah.

Politik Malaysia bukan lagi politik UMNO. Kenyataan ini merujuk kepada kajian ilmu politik, bukan kenyataan partisan yang memihak.

Ilmu berbeza dengan amalan. Seseorang pensyarah sains politik (atau mana-mana bidang) itu tanggungjawabnya mengajar ilmu politik – sains dan seni kehidupan berpolitik; dan bukan meminta pelajarnya mengamal politik.

Sama juga ramai orang Melayu mengadu akan sifat kewartawanan dan media Melayu dengan hanya membaca suratkhabar Melayu, dan membuat kesimpulan bahawa kewartawanan adalah satu penipuan, liputan amat dangkal dan berat sebelah. Itu amalan kewartawanan. Bukan ilmu kewartawanan. Seterusnya ada yang menyampuk, dengan pertanyaan sinis – “kewartawanan pun ada ilmu juga ka?”

Amalan dan ilmu, walaupun saling berkait, ada bezanya. Sama juga dengan ilmu dan amalan politik. Sebab itu bidang ini dikenali dengan nama sains politik, atau ilmu politik, bukannya amalan politik.

Apakah hanya ilmu dan sejarah politik UMNO sahaja, dan kini mungkin PAS sah untuk dikaji? Apakah bidang disiplin sains politik tidak boleh mentelaah lain-lain sistem and ideologi? Dan hanya meminta pelajar mentelaah buku Revolusi Mental? Buku itu perlu didedahkan sebagai sebuah penulisan yang bebal dengan pemikiran tertawan. Atau menyah penulisan Tun Mahathir Mohamad kerana Tun bukan lagi ahli UMNO atau kerajaan?

Di mana letaknya karya Dilema Melayu (The Malay Dilema) dalam pembacaan pelajar sains politik dan politik Malaysia di UiTM?

Atau salah membaca kajian sejarah militer sebab Malaysia ditadbir oleh kerajaan sivil? Bagaimanakah kurikulum dan silabus sains politik UiTM? Saya sangsi jika diajar diedahkan dan mengkaji secara mendalam buku teks yang bincang mengenai Marx, Machiavelli, dan Voltaire, atau biografi Sukarno, kerana takut akan kesan pelajar dan rakyat menyalah gunakan kuasa dan memulakan revolusi seperti di Perancis, atau seperti di Iran dengan membaca strategi Ali Shariati.

Atau elak dari membaca Wallerstein atau Barran atau dos Santos kerana mereka beraliran Marxist. Apakah sebegini tawaran silbus Sains Politik di UiTM (atau di lain-lain Universiti di Malaysia)?

Profesor dan pentadbir universiti mesti memisahkan ilmu politik dengan amalan politik. Memiliki fikiran terbuka dan kritis tidak semestinya subversif.

Mungkin juga apa yang sebenarnya diperlukan oleh profesor dan pentadbir universiti tersebut ialah literasi politik – berbeza dari ilmu dan amalan politik, dan sudah tentu berbeza dari politik kepartian.

Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican ialah Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM). Beliau juga Felo Kanan di Southeast Asia Research Centre and Hub (Search), De La Salle University, Manila. Beliau telah menulis dan terbit 16 buah buku dalam bidang kajian kewartawanan dan media, sains sosial dan sejarah intelektual.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here