Oleh Mowardi Mahmud

MEMASUKI minggu ketiga 2021, kisah kedudukan negara-negara di dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah mula dibincangkan.

Difahamkan indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menerusi TI Malaysia (TI-M) akan diumumkan pada 28 Januari ini (Khamis ini).

Ada yang menjangkakan, kedudukan Malaysia akan jatuh, ada juga sebaliknya.

Saban tahun, naratifnya atau jalan ceritanya adalah hampir sama.

Tahun lalu, negara ini dikatakan bernasib baik kerana kedudukan Malaysia dalam CPI 2019 meningkat 10 tangga ke kedudukan ke-51 berbanding 2018 iaitu di kedudukan ke-61 daripada 180 negara yang ditinjau.

Malaysia juga mendapat skor 53 mata berbanding 47 mata pada indeks 2018.

Terdapat peningkatan yang ketara pada kedudukan dan skor pada 2019 yang juga merupakan skor terbaik Malaysia dalam tempoh dua dekad lalu.

Namun bagi tahun-tahun sebelum itu, pencapaian Malaysia masih jauh ketinggalan.

Maka wujud pihak yang mempertikaikan cara dan kaedah TI membangunkan CPI bagi mempertahankan kemerosotan kedudukan Malaysia itu.

Walaupun kaedah yang digunakan CPI diakui mempunyai banyak kelemahan namun hakikatnya pengaruh dan persepsi yang timbul daripada CPI adalah begitu menonjol sekali.

Misalnya, indeks ini digunakan oleh pelabur asing dalam membuat keputusan pelaburan di negara ini.

Malah, isu kemerosotan kedudukan CPI juga digunakan sebagai modal politik bagi parti-parti pembangkang untuk menghentam kerajaan semasa.

Begitu agak mudah jika hendak dimanipulasi tahap senario jenayah rasuah di Malaysia sekiranya dikait dengan CPI kerana asasnya TI merupakan organisasi yang dikenali serta dihormati masyarakat antarabangsa.

Namun, apa yang lebih penting ialah kita perlu melihat usaha ke arah membasmi rasuah khususnya tindakan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika diimbau, sepanjang tahun lalu SPRM adalah antara agensi yang agresif walaupun dalam keadaan negara menghadapi krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.

SPRM tetap melaksanakan siasatan kes-kes besar dan berkepentingan awam.

Antaranya, SPRM telah menahan beberapa penguat kuasa korup dalam isu sindiket perjudian haram di Sungai Buloh, SPRM juga berjaya membongkar sindiket Macau Scam yang merasuah penguat kuasa.

Pada tahun lalu juga, menyaksikan SPRM turut membongkar kegiatan rasuah penguat kuasa dalam isu pemalsuan cap keluar masuk negara. Turut dibongkar ialah sindiket penipuan SMS.

Di hujung tahun pula, SPRM juga telah menyiasat isu kartel daging sejuk beku yang dikatakan dibawa masuk secara tidak sah.

Lebih membanggakan, siasatan-siasatan ini juga ada yang sudah berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.

Selain operasi, dalam soal pencegahan pula, SPRM telah menggunakan pendekatan baharu dalam menyebarluaskan mesej antirasuah tanpa melibatkan aktiviti komuniti besar, antaranya pelancaran program SPRM PUBG (Player Unknown Battle Ground) Mobile i-Challenge.

Selain itu, SPRM telah memulakan pendekatan memasukkan elemen antirasuah ke dalam buku teks sekolah rendah, sekolah menengah selain menawarkan kursus integriti dan rasuah di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang telah memberi impak besar kepada kumpulan sasar.

Bagi menangani isu-isu rasuah serta ketirisan dalam sektor awam dan swasta pula, SPRM telah bertindak sebagai penasihat dengan menempatkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di pelbagai kementerian dan agensi.

Selain itu, SPRM juga menyediakan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan mewujudkan portal Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) bagi memudahkan syarikat-syarikat korporat melaksanakan inisiatif antirasuah dalam organisasi masing-masing.

Ini merupakan antara tindakan-tindakan utama yang dilaksanakan SPRM bagi menangani isu rasuah sepanjang tahun lalu. Ia adalah realiti dan ‘on going process’.

SPRM wajar meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Rakyat pasti akan faham yang pihak berkuasa terus melakukan yang terbaik bagi membanteras rasuah ini.

Apa-apa pun, dapatan CPI tidak wajar dipolitikkan dan rakyat Malaysia perlu bersedia dalam menghadapi perang persepsi terutama sekali apabila data dan statistik daripada organisasi antarabangsa digunakan.

Yang paling mustahak ialah semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada SPRM.

CPI 2019 TI-M

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here