FASIH bertutur Mandarin merupakan bonus untuk kerjaya seni Layla Sania.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MAMPU menguasai bahasa lain selain bahasa ibunda dan Inggeris adalah satu kelebihan kepada mana-mana individu. Memandangkan Malaysia berbilang kaum, jadi ada juga ibu bapa Melayu yang menghantar anak mereka belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) untuk mempelajari bahasa Mandarin.

Lagipun Mandarin merupakan bahasa kedua di dunia yang mempunyai bilangan penutur teramai. Tidak rugi kalau mampu menguasai bahasa lain.

Salah seorang penyanyi yang mampu bertutur dan menyanyi dengan fasih dalam bahasa Mandarin ialah Layla Sania Khairuzikri, 19, kerana beliau adalah bekas pelajar SMJK(C) Chong Hwa, Kuala Lumpur.

LAYLA Sania tampil dengan single Mandarin yang berjudul By Your Side.

Selain Layla, Masya Masyitah, juara pertandingan Yippi Star Quest 2020 (anjuran China) dan Firdhaus Farmizi yang popular dengan single Gulf of Alaska di TikTok China, juga merupakan bekas pelajar sekolah aliran Cina.

Kelebihan bertutur dan menyanyi dalam Mandarin memudahkan mereka untuk mengembangkan bakat masing-masing ke Negara Tembok Besar itu.

Layla mula mendapat perhatian selepas muncul dalam program I Can See Your Voice dengan lagu You’re The Only One in My Heart, dendangan asal oleh Tiger Huang dalam bahasa Mandarin.

Bergandingan dengan Uriah See dalam video muzik By Your Side.

Jika sebelum ini beliau menyanyikan lagu orang lain, kini Layla sudah mampu tersenyum kerana hasratnya untuk merakam lagu Mandarin sudah tercapai.

Penyanyi yang bernaung di bawah syarikat Warner Music Malaysia itu baru saja tampil dengan single terkini dalam bahasa Mandarin berjudul By Your Side.

Kata Layla, selepas menghasilkan single keduanya, Lakaran pada tahun 2020 selepas kejayaan single pertamanya yang berjudul Que Sera Sera, beliau berhasrat untuk menyanyi lagu Mandarin pula dan kini impiannya terlaksana.

“Ini adalah single pertama saya di dalam bahasa Mandarin. Saya amat teruja dan pada masa yang sama saya juga terharu kerana tidak sabar untuk melihat reaksi peminat menerusi lagu baharu saya ini.

By Your Side merupakan single ketiga Layla Sania.

“Walaupun saya boleh bertutur Mandarin tapi bila buat rakaman lagu, jadi susah pula. Untuk menyebut setiap ayat dan perkataan dengan betul adalah perkara yang paling sukar bagi saya. Bercakap dan menyanyi dalam bahasa mandarin adalah dua perkara yang berbeza.

“Saya amat lancar untuk bercakap Mandarin, tetapi apabila menyanyi, saya perlu pastikan sebutannya betul. Saya banyak menghabiskan masa berlatih dan mengasah sebutan perkataan di dalam bahasa Mandarin menerusi lagu ini. Saya amat bersyukur kerana ramai orang yang membantu saya dalam menjayakan lagu ini,” jelas Layla.

Pernah menyertai program I Can See Your Voice Malaysia.

Lagu By Your Side ditulis oleh Joshua Goh dan Rolan Lim manakala disusun oleh Danning Z. Single ini memberi semangat kepada pendengar untuk terus mencapai impian dan tetap mengharungi hidup bersama yang tersayang. Malah lagu ini juga bakal membuatkan pendengar berasa tenang dan dekat di hati apabila mendengarnya.

Untuk video muzik rasmi By Your Side, Layla berkolaborasi dengan penyanyi Uriah See dan ini merupakan kali pertama mereka bekerjasama.

“Kali pertama saya berjumpa Uriah, beliau adalah seorang yang peramah. Saya amat berbesar hati dengan penglibatan Uriah di dalam video muzik By Your Side ini,” katanya tentang Uriah yang merupakan juara program Astro Star Quest Chines pada 2014.

Siapa tahu dengan kerjasama bersama Uriah yang sudah ada peminat tersendiri di China, Layla juga boleh mengikut jejak langkah penyanyi tersebut.

By Your Side, terbitan dan edaran Warner Music Malaysia itu boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 22 Januari 2021.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here