Oleh Yusoff Ahmad Shariff

MENTERI Kesihatan Sri Lanka yang pernah mempromosikan sejenis sirap yang didakwa boleh menghindari jangkitan wabak tersebut telah didapati positif.

Menurut seorang setiausaha media di Kementerian Kesihatan negara itu, Pavitra Wanniarachchi didapati positif pada Jumaat lalu, lapor bbc.com.

Sebelum ini beliau pernah mempromosikan sirap yang dihasilkan oleh seorang bomoh yang mendakwa ia mampu menjadikan diri seseorang itu kebal daripada jangkitan Covid-19 sepanjang hayat.

Sri Lanka mencatatkan sebanyak 56,076 kes dengan 276 kematian sejak pandemik tersebut bermula.

Sejak beberapa bulan lalu negara tersebut menyaksikan lonjakan mendadak jumlah kes.

Wanniarachchi merupakan menteri keempat didapati positif Covid-19.

Awal minggu ini seorang menteri yang meminum sirap berkenaan juga telah disahkan positif.

Menteri Kesihatan itu pernah meminum sirap tersebut di khalayak ramai dan seterusnya mendakwa ia adalah antara kaedah untuk menyekat penularan virus Covid-19.

Bomoh yang menghasilkan sirap itu berkata dia mendapat petunjuk untuk resipi sirap tersebut melalui mimpi.

Walaupun ramai doktor di negara itu menyangkal dakwaan keberkesanan sirap itu, namun ribuan orang ramai masih mengunjungi kampung di mana bomoh itu tinggal untuk mendapatkannya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here