fotoBERNAMA

PARIT BUNTAR — Ancaman babi hutan yang merosakkan tanah perkuburan semakin menjadi-jadi di kawasan Kuala Kurau di sini dengan insiden terbaharu menyebabkan 10 batu nisan tumbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata kejadian terbaharu itu berlaku di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ahmadiah, Parit Mat Ali di Kuala Kurau, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri berkata pihaknya akan memaklumkan masalah itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Tenaga (Perhilitan) agar isu gangguan babi hutan ke atas tanah kubur dapat diatasi.

“Bagi tempoh jangka panjang saya akan mengemukakan permohonan penduduk kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi pembinaan pagar untuk memastikan keselamatan kawasan tanah perkuburan ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kira-kira dua minggu lepas, ancaman sama berlaku di Tanah Perkuburan Masjid Kuala Kuala Kurau yang bukan hanya menyebabkan pagar rosak, tetapi tanah kubur turut digali.

Abdul Yunus berkata ancaman terbaharu babi hutan itu disedari penduduk minggu lepas setelah beberapa waris mendapati kubur ahli keluarga mereka rosak dan berlubang akibat disyaki digali babi hutan.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Ahmadiah Mohd Arshad Hemdi, 60, berkata pihaknya telah membuat surat permohonan rasmi untuk diserahkan kepada pihak Perhilitan bagi membolehkan perkara tersebut diatasi segera.

Beliau berkata selain itu sebuah pagar perlu dibina bagi mengelilingi kawasan perkuburan seluas lebih 0.4 hektar untuk mengelakkan dari terus diceroboh babi hutan.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here