TEMASYA Sukan Olimpik di Tokyo yang sepatutnya berlangsung tahun 2020 mungkin tidak dapat anjurkan juga pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.
Buat masa ini seperti juga di Malaysia yang mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan, Tokyo juga mengalami nasib sama sekarang berikutan wabak Covid-19.
Walaupun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mendapat pandangan positif mengenai penyertaan daripada pertubuhan olimpik pelbagai negara atau NOC, komuniti di Jepun dan di Tokyo amnya amatlah risau jika pesta berkenaan berlangsung dalam keadaan sebegini.
Bayangkanlah 206 negara anggota IOC bakal hadir bukan sahaja delegasi tetapi jumlah atlet serta penyokong akan membanjiri Tokyo. Jumlah sukan yang dipertandingkan berjumlah 33 termasuk lima acara baharu.
Pada 22 Januari 2021, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Norza Zakaria yakin Sukan Olimpik Tokyo akan dapat dilangsungkan dalam sidang secara talian dengan Presiden IOC Thomas Bach dan Presiden NOC Jepun, Yamashita Yasuhiro. Sebagai negara yang memerlukan perhatian IOC, pandangan Norza memang sudah dijangka.
Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara tentunya tidak mampu berkata apa-apa dalam keadaan sekarang. Difahamkan sesi latihan serta persediaan juga tidak dapat dimaksimumkan.
Dengan tinjauan 80 peratus penduduk Jepun risau jika temasya Tokyo berlangsung Julai 2021. jawatankuasa pengelola pasti memikirkan norma baharu dari sudut penganjuran. Jika tidak, pesta empat tahun sekali ini ada kemungkinan dibatalkan sahaja dan bukan ditunda lagi.
Tahun 2022 pula, Sukan Olimpik Musim Sejuk diadakan dan ia tidak mungkin dianjurkan temasya musim panas dalam tahun sama.
Ada yang menyebut bahawa jumlah penonton dikurangkan dan ada pula berkata, pertandingan berlangsung tanpa kehadiran penonton. Tetapi ada pandangan yang menyebut bahawa dalam 33 jenis sukan itu, ia boleh dilangsungkan secara berperingkat-peringkat. Contohnya tinju dalam satu waktu manakala olahraga waktu lain. Penganjur boleh menentukan kemudian sama ada mengehadkan jumlah penonton atau hanya menonton menerusi kaca TV sahaja.
Apa pun membatalkan langsung temasya kali ini mungkin pandangan yang perlu diberi perhatian juga. Ini bukan kali pertama berlaku malah waktu perang dunia pun ia direhatkan terus. Yang memeningkan penganjur ialah jumlah tajaan yang sudah dimuktamadkan serta persediaan yang bertahun-tahun dilaksanakan.
Nampaknya penularan Covid-19 tidak dapat menentukan masa. Dalam bulan Mac 2021, semua negara perlu menyatakan keputusan sama ada boleh ke Tokyo bagi memastikan IOC memuktamadkan bandar raya itu mampu menganjurkan Olimpiad ke-32.
-BebasNews
ROSMANIZAM ABDULLAH menggunakan nama pena TL Ang sejak sekian lama. Mula bertugas sebagai wartawan sepenuh masa sejak 1979 di Berita Harian, kemudian ke Utusan Malaysia dan Kosmo! Dihantar membuat liputan Sukan Olimpik XXIII di Los Angeles pada 1984 sewaktu bertugas di Berita Harian. Dalam pentadbiran sukan, pernah memegang jawatan Setiausaha Persatuan Lumba Basikal Melaka, Ahli Majlis Persekutuan Kebangsaan Lumba Basikal Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Penolong Bendahari dan Bendahari Majlis Olimpik Malaysia. Rosmanizam juga menerima Anugerah Kepimpinan Sukan Negara 2004 menerusi kecemerlangannya dalam pentadbiran sukan di Malaysia.