Oleh Ahmad Abd Hamid

“KEGIATAN rasuah sukar dibendung jika masyarakat masih sayang kepada pelaku rasuah. Orang yang sudah dijatuhi hukuman pun kita datang cium tangan. Kata benci rasuah, tetapi adakah kita benar-benar benci kepada perasuah”?

Ini kata bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah ketika siaran Sinar Live, anjuran sebuah akhbar tempatan di Shah Alam baru-baru ini.

Apa yang beliau perkatakan ada kebenarannya dengan mengambil kira senario waktu ini. Orang yang terlibat dengan rasuah dan dibuktikan salah di mahkamah serta dijatuhi hukuman tetap disayangi, disanjung malah dianggap seperti hero atau selebriti.

Ke mana mereka pergi sambutan hebat. Ramai orang berpusu-pusu bersalam mencium tangan. Mungkin ramai taksub dengan populariti individu berkenaan suatu waktu dahulu sebelum didapati bersalah sehinggakan selepas dijatuhi hukuman ramai masih tetap memberi sanjungan.

Ramai yang seolah-olah tidak mahu menerima realiti atau tidak percaya orang yang mereka sanjung telah melakukan kesalahan sedangkan segala bukti sudah dikemukakan dan mahkamah sudah membuat keputusan.

Tentunya ini memberi mesej yang salah kerana sementara negara berusaha keras membanteras rasuah, mereka yang terlibat dipuja puji seolah-olah memberi gambaran kesalahan yang dilakukan adalah mulia.

Memang mengelirukan sikap ini. Rakyat mahu negara bersih daripada rasuah dan pelaku rasuah dihukum, tetapi sebaliknya perasuah diletak di tempat tinggi.

Seperti kata Abdul Samat, masyarakat sekadar membuat desahan, bukan desakan. Kedua-dua perkataan ini berbeza pengertiannya. Desahan hanya sekadar menyuarakan kehendak sedangkan desakan bermaksud mengotakan desahan itu.

Justeru desahan atau suara-suara yang menentang rasuah, mestilah diiringi dengan desakan menolak pelakunya. Elemen ini yang dilihat tidak ada sekarang. Ibarat kata orang ‘cakap tak serupa bikin’.

Betapa tidak, suara membenci rasuah dizahirkan tetapi jika orang yang disanjung menerima  hukuman maka dikatakan fitnah dan berat sebelah. Pesalah tetap dipuja dan dicium tangan. Adakah perlakuan ini menampakkan benci kepada rasuah?

Jika keadaan seperti ini dibiarkan berterusan, tidak perlulah terus melaung-laungkan menghapuskan rasuah atau membebaskan negara daripada bahana rasuah. Ia akan hanya sekadar menjadi slogan bahan jenaka.

Rasa bersalah dan malu seolah-olah dihapuskan daripada pelaku rasuah kerana ada ramai yang tetap berdiri di belakangnya. Maka bebaslah dia berjumpa dengan orang ramai atau bercampur dalam masyarakat tanpa segan silu.

Membanteras rasuah juga memerlukan orang ramai cermin diri sendiri bermuhasabah agar jangan sampai terlibat dengan kegiatan tersebut, baik sebagai pemberi atau penerima.

Apa yang berlaku sekarang, ada yang berteriak garang menentang rasuah tetapi jika diri sendiri ada sedikit peluang untuk melakukannya, maka mereka akan melakukannya.

Selagi wujud sikap menyayangi perasuah, dan selagi membanteras rasuah hanya sekadar slogan yang enak didengar, usaha memerangi rasuah sukar berjaya dan akan hanya sekadar menjadi retorik. Bilakah kita akan berubah?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here