
KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Wahab Maskam yang mengetuai Sime Darby Property Berhad sebagai pengarah urusan kumpulan sehingga tahun 2016 meninggal dunia tengah hari 25 Januari 2021.
Abdul Wahab, 70, menamatkan kerjaya cemerlangnya juga selaku Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Berhad pada waktu sama berikutan nasihat pakar perubatan selepas diserang angin ahmar.
Dalam satu kenyataan Sime Darby Property Berhad, kehebatan Abdul Wahab dalam menerajui firma itu telah membawa banyak kejayaan yang masih dihargai sehingga sekarang.
Persatuan Kriket Melayu Malaysia dalam kenyataannya juga mengumumkan penghargaan tinggi kepada Abdul Wahab yang menjadi pencetus kepada wujudkan sebuah akademi dan gelanggang kriket antarabangsa dikenali sebagai Bayuemas Oval.
Sewaktu memegang jawatan Ketua Eksekutif Kumpulan Golden Hope Plantations Berhad, Abdul Wahab bersetuju untuk membina Bayuemas Oval di Estet Sungai Sedu di Kampung Pendamar, Klang yang dapat disiapkan pada tahun 2004.
”Menerusi Bayuemas Oval yang diamanahkan kepada Kriket Melayu untuk mengendalikannya, ratusan pemain bertaraf tinggi dapat dilahirkan untuk Malaysia. Kami tidak pernah melupakan jasanya.”
-BebasNews