Oleh Abdul Hafiz Ahmad


DUA perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada 25 dan 30 Mac ini boleh ditunda ke Jun ini sekiranya angka kes penularan Covid-19 terus berleluasa dan kritikal.

Jika masih tidak dapat dilangsungkan, maka kesemuanya termasuk perlawanan terakhir sama ada pada 7 dan 15 Jun mesti dihabiskan dalam format karnival dalam 2021 ini juga, kata Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe turut terbabit pada kedua-dua tarikh itu, menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, masing-masing di gelanggang lawan dan sendiri.

Mereka yang kini mengekori Vietnam, pendahulu Kumpulan G pusingan kedua dengan sembilan mata selepas lima perlawanan, turut akan bertandang ke Thailand pada 15 Jun.

WINDSOR PAUL JOHN

Jadual perlawanan pusingan kedua kelayakan ini sepatutnya sudah dihabiskan pada Mac 2020 malah pernah cuba dipinda ke Oktober dan November lalu, namun masih tidak menjadi kenyataan gara-gara pandemik itu.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengesahkan keputusan ini yang katanya kepada BebasNews, dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) secara atas talian hari ini.

Exco membincangkan beberapa saranan Jawatankuasa Pertandingan konfederasi yang bersidang juga secara atas talian pada 15 Januari lalu, berhubung kalendar pertandingan sepanjang 2021 yang menerima lambakan jadual tertunda dari 2020.

“AFC juga memberikan kebenaran kepada kedua-dua pasukan sesuatu perlawanan untuk berunding sesama mereka dalam menentukan tarikh baharu yang sesuai sekiranya berasa masih sukar meneruskannya mengikut jadual asal.

“Format timbal balik akan kekal sekiranya perlawanan didapati boleh dijalankan dengan selamat dan terjamin dalam Mac 2021,” katanya.

Laman sesawang the-afc.com hari ini turut melaporkan, AFC memutuskan pembatalan beberapa pertandingan kelolaannya termasuk Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC yang melibatkan skuad remaja Malaysia kendalian Bradley Maloney.

HARIMAU Malaya kendalian Tan Cheng Hoe (tengah). – Foto FAM.

Kejohanan ini dijadualkan pada Mac setelah ditunda dari Oktober lalu namun Uzbekistan akan kekal sebagai tuan rumahnya bagi Bawah 20 edisi 2023.

“Pembatalan ini sejajar keputusan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) Disember lalu yang membatalkan Piala Dunia Bawah 20 di Indonesia pada tahun ini. Biarpun keberatan, keputusan ini diambil kerana mengambil kira keselamatan dan kesihatan pemain-pemain belia Asia,” lapor laman itu.

Mengenai Liga Juara Asia (ACL) dan Piala AFC 2021 yang melibatkan tiga kelab Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) selain Kedah dan Terengganu FC, kedua-dua pertandingan berkenaan akan dijalankan di gelanggang berpusat atau ala karnival bagi peringkat kumpulan.

“Piala AFC akan dimainkan secara gelanggang berpusat (bukan lagi berformat timbal balik) dalam musim 2021 yang melibatkan lima zon. ACL pula diadakan dari 14 hingga 30 April ini bagi Rantau Barat manakala Rantau Timur, 21 April hingga 7 Mei ini.
“Sepak mula Piala AFC di Zon Selatan, Tengah dan Timur pula ialah 14 Mei manakala Zon Barat, 23 Mei dan Zon Asia Tenggara dari 22 hingga 28 Jun. Setiap pasukan musim ini hanya akan bermain liga sepusingan sahaja peringkat kumpulan.

“Majlis undian pusingan awal ACL dan Piala AFC akan dijalankan di Rumah AFC, Bukit Jalil pada petang Rabu ini secara maya,” lapor laman itu.

Dalam peringkat kalah singkir pusingan kedua dan suku akhir ACL 2021, hanya satu perlawanan yang akan dijalankan namun separuh akhir dan final masih dengan dua perlawanan pada Oktober dan November ini.

Butiran tuan rumah dan undangan bidaannya, akan diedarkan kepada persatuan-persatuan negara anggota AFC pada majlis undian peringkat kumpulan ACL dan Piala AFC 2021 itu.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here