GRAFIK: UNESCO.

Oleh Ruhanie Ahmad

SAYA terlatih di bidang kewartawanan di luar negara setelah lulus dalam pengajian pentadbiran dan undang-undang di institusi tempatan.

Antara pensyarah saya adalah beberapa mantan wartawan ternama dari Fleet Street, daerah suratkhabar tersohor di London.

Seorang daripadanya, bekas wartawan Daily Mail, akhbar corak sederhana kegemaran pembaca profesional pertengahan usia.

Seorang lagi, mantan wartawan Daily Mirror, akhbar sensasi kegeraman kaum marhein dan pekerja.

Seorang lagi, mantan wartawan The Guardian yang majoriti pembacanya adalah elit Inggeris ternama.

Walaupun mereka pernah mewakili akhbar dengan khalayak pembaca yang berbeza, mereka mempunyai satu persamaan yang nyata.

Mereka mempunyai etika kewartawanan yang sama, disiplin yang serupa, dan berpegang teguh kepada undang-undang yang melandasi kerjaya mereka.

Mereka mendidik para pelajarnya supaya sentiasa berpegang kepada integriti, etika, disiplin dan undang-undang kewartawanan supaya mereka melaporkan kebenaran, bukan kepalsuan.

Mereka menuntut pelajarnya memahami undang-undang fitnah dan lain-lainnya supaya tulisan mereka menjauhi fitnah dan dakyah.

Dalam pelaporan politik, keselamatan dan hubungan antarabangsa, pelajarnya dididik mengelakkan berita yang memecahbelah, menimbulkan keresahan, atau mencetuskan persengketaan.

Semasa saya dengan kumpulan The New Straits Times, saya mewarisi etika, disiplin dan budaya kewartawanan Jalan Riong, pusat suratkhabar di Bangsar, Kuala Lumpur.

Di NST, saya dididik oleh Tan Sri A. Samad Ismail, Tan Sri Lee Siew Yee, Dahari Ali, David Thambaya, Ambrose Khaw, Tony Herman, Rudy Beltran, Lim Thow Boon dan Alias Rahim.

Ketika bertugas selaku Penolong Ketua Pemberita Berita Harian, saya berpeluang mengenali tokoh wartawan Melayu yang dididik oleh pengalaman yang berpaksikan etika Kajai.

Di Berita Harian, saya dididik oleh Salim Kajai, Samani Md Amin, Datuk A Samad Said, Sutan Shahril Lembang, Hamid Bendahara, Zainuddin Bendahara, Cheng Song Huat dan Shafie Nor.

Dalam penulisan puisi, saya bersama A. Jusof Manaf dan Saring Siraj (Ismas Saring) mengasah bakat atas bimbingan penyair A. S. Amin, Khadijah Hashim serta Adibah Amin.

Saya juga berpeluang menimba pengalaman dalam genre puisi daripada beberapa tokoh di Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB), termasuk Datuk Osman Awang (Tongkat Waran), Datuk Kamal Abdullah (Kamala), Ahmad Fadzil Yassin (A.F. Yassin), T. Alias Taib, Sutong Omar dan Dinsman.

[Saya membantu Osman Awang menaipkan puisi Melayu yang dideklamasikan di Perhimpunan Melayu Johor (PMJ) untuk merintis perpaduan Melayu di negeri tersebut akibat perpecahan siasah di tahun 80-an].

Saya juga berinteraksi dengan sahabat wartawan Kumpulan Utusan yang berpusat di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi.

Dari pergaulan dengan Kumpulan Utusan, saya menimba pengalaman daripada Tan Sri Melan Abdullan, Tan Sri Mazlan Noordin, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam Maidin) serta rakan sejawatan, termasuk Suhaimi Mokhtar, Sirajuddin Rafia dan Abdullah Hasan.

Saya bersama Datuk Jaafar Husin, pernah menimba pengalaman kewartawanan Angkasapuri dan BERNAMA, iaitu gedung yang sinonim dengan Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman, Datuk A. Kadir Jasin dan Ahmad Wahab.

Saya mendalami selok-belok penulisan politik daripada Prof. Dr Syed Hussein Alattas (Pak Habib), dan mendalami hal ehwal blogging untuk blog Kudakepang, menerusi Datuk Ahiruddin Atan (Rocky Bru) dan YM Raja Petra.

Berdasarkan didikan dan pengalaman di atas, saya berasa cemas dengan perkembangan dalam dunia kewartawanan dan penulisan di Malaysia.

Majoriti wartawan generasi Datuk Zaini Hassan dan Noraina Samad, memang terus mengamalkan nilai dan etika yang murni. Begitu juga golongan wartawan akhbar Malaysia semasa.

Namun, ledakan teknologi maklumat, di mana sesiapa sahaja boleh menyebarkan maklumat menerusi butang di hujung jari, kini melahirkan segelintir generasi pengamal media sosial yang membimbangkan.

Penulisan menerusi media sosial dan segelintir portal berita, kini seolah-olah tidak berasaskan etika, disiplin, mahupun undang-undang kewartawanan yang sewajarnya.

Adakah ini bahana tentera siber upahan pihak tertentu? Adakah kelompok ini terbebas dari segala-segalanya sebab beroperasi di alam maya? Adakah fenomena ini yang membudayakan berita palsu dan kewartawanan fitnah, demi kelangsungan siasah kumpulan tertentu?

Pihak berwajib perlu peka, penyebaran maklumat berunsur fitnah, hasutan dan provokasi, kini menumpu kepada jati diri nasional, termasuk Islam, Raja-Raja Melayu dan sosioekonomi Peribumi.

Dari sudut keselamatan, segelintir pengamal media sosial kini sedang mengancam keselamatan jati diri, ketenteraman awam dan keselamatan nasional Malaysia seluruhnya.

Inilah antara dilema dan ancaman semasa akibat ledakan teknologi maklumat. Fenomena ini mesti dituntasi, dirincikan dan diatasi dengan segera oleh cerdik pandai kewartawanan, penulisan dan multimedia Malaysia.

Kita perlu perkasakan semula etika, disiplin dan undang-undang kewartawanan Jalan Riong, Chan Sow Lin, DPB, Angkasapuri dan BERNAMA, untuk dijadikan panduan utama kewartawanan Malaysia mutakhir.

— BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. The present cowboy journalism culture in the internet sphere is driven by political parties.
    As we already knew, every party now has their own “mercenary writers.”
    Even during the golden years of Malaysian newspapers, our journalism was very partisan and biased. Ron also knew that very well.
    The only hindrance from becoming cowboy journalists was the libel law. Yet during general election, many editors dared to to take the risk to please their political masters.
    To be honest, Ron should honestly question himself and the so called mentor writers of that generation: are they really much better than the present portal journalists ?

Leave a Reply to Mr Cowboy Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here