TANGKAP layar dariapada Facebook.

Oleh Fetty Rara

SETELAH tidak aktif hampir enam tahun, kumpulan aktivis penggodam yang menggelar diri ‘Anonymous Malaysia muncul dengan ancaman akan memulakan serangan ke atas laman web milik kerajaan dalam sedikit masa lagi.

Menurut kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook kumpulan tersebut serangan mereka itu perlu menyentak pihak kerajaan supaya memperketat kawalan sistem bagi mengelakkan kebocoran data.

Melalui video yang dimuat naik, kumpulan tersebut mendakwa bahawa sistem keselamatan kerajaan ‘adalah amat lemah’ dan ‘ kesemua data boleh dibocorkan’ bagi membolehkan penggodam menjual maklumat tersebut.

Ketua pegawai keselamatan maklumat di syarikat teknologi Acronis, Kevin Reed dilaporkan oleh The Star bahawa tidak mungkin kumpulan itu akan melancarkan ‘perang Internet secara menyeluruh’ seperti yang pernah mereka janjikan sebelum ini.

Walau pun demikian, Reed berkata mereka mungkin akan meneruskan beberapa bentuk tindakan.

Beliau berkata antara serangan termasuk DDoS (Distributed Denial of Service) atau membocorkan data melalui kelemahan rangkaian.

Walaupun adalah menjadi amalan yang baik supaya mengkaji semula dasar-dasar dan sistem keselamatan rangkaian, namun beliau tidak yakin laman-laman web kerajaan memerlukan perubahan drastik selagi aliran data dipantau dengan betul.

Dalam pada itu sumber data rahsia dan kritikal juga perlu dikaji semula bagi memastikan ia selamat dan menggunakan enkripsi yang kukuh.

Malaysia pernah terkesan oleh beberapa kejadian kebocoran data sebelum ini, termasuk paling serius pada 2017 hingga mendedahkan maklumat peribadi lebih 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih.

Pada Disember tahun lalu, Angkatan Tentera Malaysia mengesahkan bahawa rangkaian mereka telah disasarkan dalam satu serangan siber.

Bagaimana pun, Pusat Operasi Pertahanan Siber (Cyber Defence Operation Center) dan Divisyen Pertahanan Elektromagnetik Angkatan Tentera Malaysia mendakwa telah berjaya mencegah maklumat penting daripada diakses dengan cara mengasingkan trafik data.

Setakat ini masih belum pasti sama ada  Anonymous Malaysia mempunyai kaitan dengan kumpulan Anonymous yang merupakan sebuah gerakan aktivis penggodam global yang pernah mengaku bertanggungjawab melakukan beberapa serangan berprofil tinggi dunia.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here