Fariz Kamil tampil dengan single sulung, Terluka.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

FARIZ KAMIL merupakan nama yang betul-betul segar dalam industri nyanyian tanah air. Berusia 29 tahun dan dilahirkan di Kuala Lumpur, Fariz memulakan nyanyian sejak dari bangku sekolah lagi.

Jejaka ini mula memberanikan diri untuk menyanyi di pentas ketika di darjah enam. Kemudian minatnya untuk menjadi penyanyi kian bercambah hari ke hari.

Meminati muzik bergenre balada dan pop, Fariz mempunyai visi dan misi tersendiri untuk melangkahkan kaki ke dalam dunia nyanyian tanah air.

“Saya mempunyai visi tersendiri iaitu ingin mengembalikan stail crooner ala lagu-lagu nostalgia yang tidak lapuk ditelan zaman dengan misi mengekalkan lagu konsep pop balada supaya menjadi malar segar seperti penyanyi terdahulu,” ujarnya yang mengidolakan Art Fazil dan Datuk M.Nasir.

Oleh itu, Fariz kini muncul dengan lagu berjudul Terluka yang merupakan single perdana nyanyiannya. Jejaka bersuara jantan ini merupakan penyanyi baharu syarikat rakaman Moro Records.

Lagu berkonsep pop balada ini merupakan hasil ciptaan artis dan komposer serta produser terkenal Singapura, Art Fazil.

Suaranya dikatakan seperti gaya Broery Marantika.

Terluka mengisahkan tentang kedukaan yang dialami seseorang yang ditinggalkan kekasihnya.

Menariknya tentang pembikinan lagu ini kerana mendapat sentuhan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air.

Lagu ini mendapat kerjasama Eddie Marzuki dan Addy Cradle untuk bahagian gitar, Ujang Exist untuk dram dan orkestra di bawah pimpinan Eddie Marzuki.

Eddie turut menyumbangkan bahagian bes untuk lagu yang diterbitkan pada bulan Oktober 2020 ini.

Mendapat kerjasama daripada individu-individu ternama industri, Fariz merasa berbesar hati dan bertuah. Malah beliau mempunyai harapan peribadi melalui lagu Terluka.

“Saya mengharapkan suatu hari nanti, saya mampu menjadi seperti penyanyi-penyanyi terdahulu di mana lagu mereka kekal hingga ke hari ini dan saya juga mengharapkan agar dapat berkongsi perasaan melalui lagu dan nyanyian saya nanti serta dapat menghiburkan para pendengar,” ujar Fariz Kamil.

Bakat dan suara unik Fariz dikesan oleh Art Fazil di Uptown Kota Damansara, ketika anak kedua daripada tiga beradik itu sedang rancak menyanyi karaoke.

Fariz Kamil harap kemunculannya mendapat sokongan ramai.

Menurut Art Fazil, beliau mempunyai sebab tersendiri untuk menghasilkan sekali gus menerbitkan lagu untuk Fariz.

“Saya memilih Fariz kerana suaranya yang unik. Tidak ramai penyanyi baharu masa kini yang mempunyai suara jantan. Kami sengaja merakam lagu Fariz dan melawan arus masa kini kerana dia mempunyai potensi besar untuk menjadi suara terkenal di Nusantara.

“Saya meminati penyanyi legenda Indonesia, Broery Marantika dan saya melihat suara Fariz ada potensi untuk menyanyikan lagu lagu ala crooner dengan baik seperti Broery,” ujar Art.

Bercerita lanjut tentang pertemuannya dengan Fariz, Art berkata, ketika itu beliau dan Nik Jassmin (Moro Records) serta rakan-rakan dari Kino-I Pictures berada di Uptown Kota Damansara.

“Masa itu, Fariz menyanyikan lagu Suatu Masa oleh M.Nasir. Kami  terpegun dengar suara itu dan ingatkan orang tua yang nyanyi tapi rupa-rupanya seorang anak muda. Dari situ kami mengenali Fariz dengan lebih rapat lagi dan menawarkan kontrak rakaman,” ceritanya.

Art turut berkongsi pengalaman pertama Fariz berada dalam studio rakaman.

Katanya, nampak jelas yang Fariz tidak berpengalaman dan amat mentah dalam dunia rakaman. Malah, awalnya Fariz nampak kurang selesa sewaktu rakaman lagu dilaksanakan.

“Saya memberi Fariz ruang untuk menyanyikan lagu ini dengan stail dia tersendiri tanpa terlalu banyak mengubah melodi asal. Setelah tiga bulan latihan kami pun memasuki studio di Kuala Lumpur.

“Namun setelah membuat latihan di dalam studio beberapa kali dia sudah boleh menyanyikan lagu ini dengan baik sekali. Saya menciptakan lagu Terluka single pertama Fariz dengan pandangan yang lagu ini dapat menonjolkan suara Fariz yang unik. Setelah mencipta lagu itu, saya ‘test’ untuk Fariz nyanyikan lagu ini,” kata Art menyakini bakat yang dikesannya.

Malah, kata Art, sewaktu menjalani penggambaran video muzik juga, mereka dapati Fariz juga mempunyai bakat berlakon yang boleh digilap. Komposer itu yakin Fariz adalah seorang bakat baharu yang berpotensi untuk menjadi terkenal di Nusantara.

Muzik video lagu ini menggambarkan keperihan seorang yang terluka hatinya akibat ditinggalkan kekasihnya.

Penggambaran yang dibuat di dalam suasana hujan malam memberikan suntikan tragis di dalam menyampaikan emosi lagu tersebut. Muzik video rasmi dengan durasi tiga minit 42 saat ini boleh ditonton di laman YouTube Mororecs.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here