Datuk Seri Ronald Kiandee (tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu khas semasa lawatan kerja di PPHL Kuala Langat, Selangor.

Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LANGAT — Sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang permit import (AP) daging adalah terdiri daripada syarikat yang dimiliki oleh bumiputera kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Ronald berkata, antara syarikat bumiputera yang mempunyai AP daging adalah Ramly Food Processing dan Darabif Meat Company yang mempunyai keupayaan untuk mengimport jumlah daging yang besar.

“Dari segi jumlah daging yang diimport, ia bergantung kepada keupayaan syarikat berkenaan, dan dua syarikat ini mempunyai keupayaan untuk memgimport daging pada kuantiti yang besar dan mampu bersaing dengan syarikat bukan bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas melakukan lawatan kerja ke pusat pengumpulan hasil tanaman Pertubuhan Peladang (PPHL) Kuala Langat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media dimana bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa hanya 10 peratus pemegang AP daging terdiri daripada syarikat bumiputera.

Sementara itu diminta mengulas mengenai syarikat pemegang AP yang disenarai hitam kerana melanggar syarat AP, Kiandee berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan daripada agensi-agensi berkaitan.

“Kita masih menunggu hasil siasatan, kes berkaitan AP daging ini sedang disiasat oleh beberapa agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Jika terdapat perlanggaran syarat AP ini kementerian akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Terdahulu, MAFI dilaporkan sedia membatalkan permit import (AP) syarikat yang didapati terlibat dalam kartel pengedaran daging sejuk beku tanpa sijil halal sah dan tidak akan bertolak ansur jika ada kakitangan kementerian itu sendiri yang terbabit dalam isu tersebut.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here