Oleh Abdul Hafiz Ahmad

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini membuat keputusan nekad menunda tarikh sepak mula Liga Super musim 2021 yang dimulakan dengan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah dan Liga Perdana dari 26 Februari ke 5 Mac ini.
Malah seperti musim 2020 yang terkesan teruk dek Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MFL juga sekali lagi meniadakan saingan kalah singkir, Piala FA dalam kalendar pertandingannya musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, penundaan Liga Super dan Perdana serta pembatalan Piala FA dibuat ekoran PKP dikenakan di seluruh negara kecuali Sarawak (PKP Bersyarat – PKPB) sehingga 4 Februari ini.
“Keputusan ini dicapai pada mesyuarat khas Lembaga Pengarah MFL secara atas talian selain mengambil pandangan dan persetujuan wakil-wakil pasukan liga dalam taklimat khas, semalam,” katanya dalam laman Facebook rasmi MFL hari ini.
AB. Ghani Hassan (tiga dari kiri), CEO MFL yang juga Naib Presiden FAM. – Foto MFL.
Jelasnya, bahawa status penularan pandemik itu di Malaysia kini di paras membimbangkan malah rakan-rakan kongsi MFL mahukan persiapan pasukan-pasukan mereka dibuat sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum sepak mula Liga M 2021.1.26
“Pindaan tarikh ini turut mengambil kira pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 (bagi Harimau Malaya), Liga Juara Asia dan Piala AFC melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC,” ujarnya.
MFL pada 17 November lalu, menjadualkan pertembungan penyandang yang juga juara Liga Super 2020, JDT dan Kedah, naib juara liga itu bagi perebutan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari ini sekali gus sebagai pembuka tirai Liga M 2021.

Jadual asal itu turut disusuli perlawanan-perlawanan Liga Super dan Perdana pada 27 dan 28 Februari dan berakhir pada 20 dan 21 Ogos, Piala FA dari 2 Mac hingga 11 September manakala Piala Malaysia, 17 September hingga 27 November.

PEREBUTAN Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah 2021 antara Kedah (kiri) dan JDT pada 26 Februari ditunda ke 5 Mac ini. – Foto MFL.

Kata Ghani yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), MFL telah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) latihan pasukan yang lebih ketat dan secara kuarantin bagi memastikan Liga M 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan bebas daripada risiko Covid-19.

“MFL juga bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan penyediaan SOP latihan ini dan kami akan menyarankannya kepada kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Pembatalan Piala FA 2021 pula katanya, berat untuk dilakukan tetapi perlu dalam memastikan keseimbangan jadual selain pasukan-pasukan terlibat, tidak terbeban dengan lebih banyak perlawanan yang mempengaruhi mutu Liga M musim ini.

Walau bagaimanapun tegas Ghani, dua lagi pertandingan tahunan selain kedua-dua liga tadi, Piala Malaysia dan Piala Pencabar akan kekal dalam kalendar 2021.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here