Oleh Nurulanuar Mansor

TULAR dalam tempoh 48 jam kebelakangan ini pelanggaran SOP PKP yang berlaku pada majlis sambutan ulang tahun ke-47 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baru-baru ini.

Alam siber di Malaysia kecoh memperkatakan mengenainya dan keadaan menjadi lebih panas dengan reaksi balas yang diberikan oleh Yang Di Pertua Yadim, Nasiruddin Hassan terhadap komen netizen.

Kepada Yang Menteri Agama yang Allah muliakan, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Tuan Nasaruddin, maafkan saya untuk menyatakan, teguran bukan bermakna menentang mahupun membenci.

Yang Berhormat Menteri (YBM) Agama yang Allah muliakan, pada hemat saya yang amat kurang ilmunya ini, Datuk Seri sepatutnya menasihati para pegawai beliau di Yadim untuk tidak mengadakan majlis meraikan ulang tahun ke-47 penubuhan pertubuhan itu.

Ini kerana, majlis berkenaan tidak ada kepentingan kepada negara apatah lagi masyarakat.

Dalam gambar-gambar ketika majlis berkenaan yang telah ditularkan, jelas kelihatan tiada pematuhan SOP diamalkan.

Apatah lagi, YB Menteri merupakan golongan berisiko tinggi dan pernah dijangkiti Covid-19.

Amat mengecewakan apabila pelanggaran SOP itu dilakukan oleh mereka yang menaungi pertubuhan yang menjadi penaung kepada usaha dakwah di Malaysia.

Lebih menyedihkan, kurang 24 jam daripada majlis berkenaan, dilaporkan sekumpulan ahli kariah Masjid Kariah Taman Bandar Senawang, Negeri Sembilan disaman RM1,000 kerana mengingkari larangan berkumpul apabila mereka menikmati juadah selepas solat di masjid tersebut.

Suka atau tidak, hakikatnya majlis Yadim itu memberikan gambaran yang buruk kepada institusi dan kepimpinan agama di negara ini.

Juga, suka atau tidak, gambaran buruk itu menjadi satu isu pada waktu negara dan rakyat dirundung keperitan yang amat sangat akibat Covid-19.

Persepsi negatif itu diparahkan lagi dengan tindakan yang diambil terhadap ahli kariah masjid yang berkumpul itu.

Sedangkan, apakah natijah yang diterima oleh YB Menteri dan para pegawai Yadim pada majlis tersebut.

Sekali lagi saya yang gasar dan amat kurang ilmunya ini ingin menyatakan menegur bukan bermakna menentang mahupun membenci.

Kepada yang Allah rahmati dan muliakan dengan pangkat Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan Hassan.

Maaf kerana dalam bicara ini saya tidak meletakkan panggilan Ustaz pada pangkal nama tuan.

Sengaja saya lakukan kerana bagi saya, gelaran Ustaz itu hanya cocok bagi manusia yang ilmunya membina akhlak dan adab yang tinggi lalu menjadikan dirinya contoh teladan yang baik kepada orang awam dan orang gasar seperti saya.

Seperti mana teguran kepada Yang Berhormat Menteri Agama yang Allah anugerahkan kemuliaan, saya juga menegur Tuan YDP.

Teguran ini bukan atas pelanggaran SOP yang tuan lakukan, tetapi atas keangkuhan jawapan yang tuan berikan terhadap keingkaran itu.

Sebagai orang yang tinggi dan mendalam ilmu agamanya, amat tidak wajar bagi tuan untuk merumuskan teguran khalayak itu sebagai satu petanda kebencian awam terhadap tuan dan YBM.

Sudah terang lagi bersuluh, pelanggaran SOP telah berlaku yang mana tindakan itu memberikan persepsi berlakunya beza darjat antara pimpinan, terlebih utama pada kelompok pimpinan agama.

Ingatlah tuan YDP, Abu Ruqayyah Tamim al-Dari RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Agama itu ialah nasihat.” Kami pun bertanya: “Bagi siapa (nasihat itu)?” Baginda menjawab: “Nasihat untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam golongan Muslimin dan seluruh Muslimin (rakyatnya).” (HR Muslim).

Saya kira, tuan lebih memahami maksud hadis itu dalam konteks apa yang berlaku.

Dalam hal menasihati pemimpin, ia boleh berlaku dalam banyak dimensi.

Pertama, daripada yang atas kepada di bawah seperti nasihat dan teguran Allah SWT kepada Nabi SAW atau nasihat daripada orang bawah kepada pemimpin tinggi seperti sahabat menasihati Baginda atau orang awam menasihati khalifah.

Islam sejak awal ditanzilkan lagi tidak putus-putus mencatatkan banyak kisah menasihati pemimpin, bermula daripada nasihat atau teguran daripada Allah SWT terhadap Nabi SAW seperti terakam dalam ayat pertama hingga 4 dalam surah ‘Abasa:

Asbabun nuzul adalah kerana Nabi SAW didatangi seorang buta, iaitu Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang ingin bertanyakan hal agama, namun Nabi SAW tidak melayan kerana ketika itu Baginda sibuk berdakwah dengan pemimpin kafir Quraisy seperti Walid Ibnu al-Mughirah dan amat berharap mereka akan memeluk Islam.

Lalu, Allah SWT menegur Nabi SAW atas sikap itu sedangkan hidayah milik Allah jua.

Adakah teguran Allah itu Tuan YDP yang Allah muliakan dengan pangkat yang sementara, satu petunjuk bahawa Allah membenci RasulNya?

Manakala pada zaman sahabat pula, sejarah mencatatkan Sayidina Umar Al-Khattab RA dilantik menjadi khalifah, beliau dengan lantang menyeru agar ditegur jika menyeleweng dengan berkata:

“Sesiapa antara kamu melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka luruskanlah ia.”

Sebaik sahaja beliau berkata demikian, lantas bangkitlah seorang lelaki Arab Badwi lalu berkata dengan berani:

“Demi Allah wahai Umar, sekiranya kami mendapati kamu menyeleweng, nescaya kami akan luruskan kamu dengan pedang kami yang tajam ini!

Tuan YDP yang Allah muliakan dengan pangkat yang sementara pasti tahu apa jawab Saidina Umar RA bukan?

Amat janggal dengan ketinggian ilmu tuan jika jawapannya tidak tahu.

Saidina Umar RA menjawab:

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang menjadikan dalam kalangan umat Muhammad, mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya.”

Sejarah turut mencatatkan, Saidina Umar RA pernah naik ke atas mimbar dan berucap menetapkan mahar perkahwinan tidak melebihi 400 dirham.

Apabila beliau turun, beliau ditegur seorang perempuan dengan membacakan ayat ke-20 dalam surah al-Nisa’ yang menyebut Allah SWT memberikan kebebasan kepada lelaki memberikan sebanyak mana yang mereka mahu sebagai mahar kepada perempuan.

Ini menginsafkan Saidina Umar yang beliau tiada hak menetapkannya.

Kesedaran itu membuatkan beliau berkata:

“Ya Allah, berilah keampunan kepadaku. Semua orang lebih faqih (memahami) daripada Umar.”

Khalifah kedua itu pun kembali menaiki mimbar dan berkata:

“Sesungguhnya tadi aku melarang kamu menetapkan mahar terhadap wanita lebih daripada 400 dirham. (Namun) sekarang, sesiapa pun boleh memberikan hartanya berdasarkan yang dia suka (sebagai mahar).”

Soalan saya yang amat kurang ilmu ini kepada Tuan YDP yang Allah muliakan dengan pangkat yang sementara ialah – adakah kedua-dua lelaki dan wanita itu membenci Saidina Umar sehingga mereka membuat kenyataan dan teguran yang amat keras itu?

Para pimpinan khususnya pimpinan agama adalah penyuluh yang menjadi penerang kegelapan kepada manusia yang jahil dan dangkal ilmunya seperti saya.

Seandainya suluh itu dibiarkan goyang ditiup akam malam yang menggoda jaga menjadi alpa sehingga malap lalu padam, apakah yang akan terjadi kepada manusia gasar seperti saya.

Ditampan angin itu dengan tangan, tangan lecur dijilat bahang.

Dibiarkan padam, saya yang gasar akan kesesatan.

Makanya Tuan YDP yang Allah muliakan dengan pangkat yang sementara, insaf dan sedarlah.

Sedangkan Saidina Umar RA yang dijamin syurga boleh berlapang dada menerima teguran, mengapa tidak kita?

Adakah kita ini lebih dimuliakan Allah berbanding Saidina Umar RA?

Di kala bencana yang melanda ini, para pimpinan mempunyai amanah dan tangunggjawab yang amat berat.

Bukan sahaja mereka ini perlu berusaha keras lebih daripada usaha yang paling keras, para pimpinan juga perlulah menunjukkan tauladan yang paling baik.

Jangan jadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dia sendiri berjalan songsang.

Kita semua akan disoal akan tindakan kita di dunia di akhirat kelak.

Soalan itu lebih berat buat para pimpinan.

Saya mohon maaf jika teguran ini keterlaluan.

Ahabbukum lillah.

Allahu ‘alam.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here