Oleh Zaki Abdul Rahim

PENGUNJUNG yang melepasi Kampung Jeram menuju bandar Kampar, Perak pasti akan mengalih pandangan kepada susuk binaan rumah kayu yang letaknya di teduhan rimbunan buluh berhampiran pintu masuk bengkel Dania Woodcraft. Pemiliknya Adnan Abdul Manaf, anak kelahiran Temoh, Tapah amat dikenali serata Perak sebagai peminat sejati rumah kayu Melayu tradisi yang aktif membangunkan pelbagai projek binaan berkonsepkan warisan tradisi Melayu. Kebetulan bekas guru ini juga menjalankan perniagaan jual beli kayu kayan terpakai yang antaranya berupa tinggalan binaan mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Mengguna khidmat pandai kayu dari Semarang Jawa Tengah, Khabibullah Solihin yang mengetuai pasukan tukang 7 orang mereka bertungkus lumus mendirikan Vila Jawa ini sejak Januari 2019 yang kemudiannya terhenti apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa. Menariknya kaedah pembinaannya secara manual tanpa penggunaan alatan berteknologi tinggi dengan cara mengekalkan gaya tarahan, tebuk, pasak dan persendian yang diamalkan tukang-tukang kayu lama Jawa. Rangka rumah dibina hanya menggunakan gergaji, ketam dan pahat tebuk yang sememangnya mengambil masa namun hasilnya amat menampilkan gaya senibina dan rupa bentuk yang utuh serta bernilai kesenian budaya halus.

Bahagian bumbung serta tubuh rumah tidak sama sekali menggunakan paku dan besi ditambah hiasan dinding unik lagi bermotif budaya alam sekitaran. Rumah ini nanti apabila siap sepenuhnya akan memberi petanda kehebatan pandai kayu silam menghasilkan khazanah seni warisan turun temurun masyarakat Melayu serumpun yang tidak pudar ditelan zaman.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here