KUALA LUMPUR — Stesen televisyen satelit berbayar terbaharu di Malaysia, Sirius TV mengumumkan tawaran pemberian dua saluran percuma kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk dijadikan saluran TV Pendidikan kementerian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMART Digital International Sdn Bhd. (SMART), Khairuddin Abdul Rahman berkata, tawaran saluran TV yang beroperasi selama 24 jam sehari itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat berikutan pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Menurut beliau, penggunaan kedua-dua saluran tersebut akan dapat membantu KPM untuk menyiarkan kandungan pendidikan bagi sekolah rendah dan sekolah menengah dengan lebih meluas memandangkan Satelit SES–12 yang digunakan oleh Sirius TV mempunyai capaian yang amat baik di seluruh negara termasuklah di kawasan pendalaman.

Ini sekali gus membolehkan KPM menyediakan medium untuk para pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam bentuk rakaman mahupun siaran langsung tanpa terlalu bergantung kepada capaian Internet.

“Penangguhan sesi persekolahan disebabkan peningkatan mendadak kes COVID-19 telah memaksa pihak KPM melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang banyak bergantung kepada akses Internet dan peranti.

“Melalui penggunaan kedua-dua saluran percuma yang kami tawarkan ini, perlaksanaan program PdPR akan dapat dipertingkatkan lagi keberkesanannya terutamanya di kawasan di mana capaian Internet tidak memuaskan,” jelas Khairuddin dalam siaran media yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, penggunaan kedua-dua saluran itu juga dapat meringankan beban kekurangan peranti seperti telefon pintar dan tablet untuk kegunaan PdPR yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah ketika ini.

Khairuddin juga menyatakan, tawaran yang diberikan pihaknya selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia (NUTP) terhadap cadangan mewujudkan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar.

Langkah ini juga diyakini dapat mengatasi permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh pihak sekolah dan ibu bapa dalam perlaksanaan PdPR ketika ini.
Khairuddin juga memaklumkan, sehingga kini pihak KPM masih belum memberi maklum balas kepada tawaran yang diberikan.

Untuk makluman, stesen Satelit Sirius TV bakal dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini dengan mempunyai sehingga 30 saluran yang menawarkan pakej tanpa kontrak dan dengan langganan percuma selama 12 bulan kepada pengguna. Sirius TV boleh diakses di pautan www.siriusmalaysia.tv .

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here