Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KERAJAAN Belanda tidak akan menarik balik perintah berkurung walaupun negara itu menyaksikan rusuhan tiga malam berturut-turut.

Menteri Kewangan Wopke Hoekstra menyifatkan apa yang berlaku sebagai perlakuan sampah masyarakat.

Keganasan telah menyebabkan kedai-kedai di Rotterdam dan beberapa bandar raya lain dipecah masuk, lapor bbc.com.

Lebih daripada 180 tangkapan dibuat oleh polis dan Ketua Polis Belanda berkata rusuhan yang merebak ke serata negara itu tidak lagi boleh dianggap sebagai desakan untuk memperjuangkan hak asasi bertopengkan bantahan perintah berkurung.

Perdana Menteri Mark Rutte berkata jenayah ganas itu perlu dihentikan.

Pagi tadi (Selasa) pemilik kedai di Rotterdam, Den Bosch dan bandar-bandar lain kelihatan sibuk membersihkan sampah sarap dan memperbaiki premis yang dirosakkan oleh perusuh sepanjang malam.

Datuk Bandar Rotterdam Ahmed Aboutaleb dengan penuh kesal merayu kepada kumpulan perusuh supaya menilai kembali segala apa yang telah mereka lakukan.

Beliau bertanya apakah mereka semua berasa seronok setelah memusnahkan harta benda di bandar raya milik sendiri dan bangun pagi dengan bangga melihat barang-barang yang curi berlonggok di tepi katil.

Sejak Sabtu lalu perintah berkurung berkuat kuasa dari pukul 9.00 malam hingga 4.30 pagi untuk membantu mengekang penularan Covid-19.

Pihak berkuasa berkata tiada sesiapa pun akan terlepas daripada segala jenayah yang dilakukan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here