JOSEF VENGLOS

Oleh Abdul Hafiz Ahmad


BEKAS jurulatih warga Czechoslovakia yang pernah membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1986, mendiang Josef Venglos meninggal dunia semalam pada usia 84 tahun.

Skuad negara yang turut dianggotai mendiang Datuk R. Arumugam, Mohamed Razip Ismail, Saidin Osman, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Ahmad Yusoff, menewaskan kelab Czechoslovakia, Sigma Olomuc 3-0.

Malaysia menang menerusi jaringan penalti Wong Hung Nung, Zainal dan Dollah Salleh dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur tanggal 3 Ogos 1986 sekali gus menepati syarat Majlis Olimpik Malaysia untuk beraksi pada Sukan Asia Seoul tahun itu.

Venglos turut dianggap ‘arkitek’ kejayaan Kuala Lumpur dalam era 80-an atau ketika itu dikenali sebagai Wilayah Persekutuan sehingga muncul naib juara Piala Malaysia 1985 selepas dikalahkan Johor 2-0 dan juara Liga 1986.

“Venglos ketika sebagai ketua jurulatih negara sehingga 1987, dibantu mendiang Datuk M. Chandran. Kami sebelum itu menewaskan pasukan kebangsaan Jepun 2-1 dalam separuh akhir.

“Turut sepasukan dengan kami ialah Azhar Mohd. Sharif, Serbegeth Singh dan Khan Hung Meng, mendiang Ong Yu Tiang dengan Arumugam selaku kapten,” kata Razip kepada BebasNews hari ini.

JOSEF Venglos (berdiri, empat dari kiri) bersama skuad negara juara Pestabola Merdeka 1986. Razip Ismail (duduk, kanan). – Foto Dunia Sukan Utusan.

Kata Razip, 59, yang kini Ketua Unit Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), “ramai pemain muda Kuala Lumpur yang mencipta nama dengan ‘air tangan’ Venglos. Mendiang jurulatih yang bagus dan meninggalkan kesan kejayaan City Boys.

“Saya juga menerapkan serba sedikit kaedah latihannya apabila memulakan karier kejurulatihan dengan akademi remaja Kuala Lumpur pada 1996. Kaedahnya agak baharu dalam era 80-an bola sepak tempatan yang kerap terdedah dengan corak England dan Jerman.

“Mendiang juga seorang yang mudah mesra dan gemar merendah diri. Corak latihannya tidak keras, ada pendekatan tersendiri dan boleh diterima pemain dengan mudah,” kata Razip, anggota skuad Kuala Lumpur juara hatrik Piala Malaysia 1987, 1988 dan 1989.

Laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini turut melaporkan berita pemergian selama-lamanya bekas jurulatih Oman dan FC Prague Sydney Australia yang pernah beraksi sebagai perantara kelab Slovan Bratislava (kini Slovakia) dan Czechoslovakia B.

Venglos mempunyai kelulusan kedoktoran Pendidikan Jasmani dan pengkhususan Psikologi juga pernah melatih pasukan kebangsaan Australia pada 1967 dan membantu Slovan Bratislava memenangi dua kejuaraan di negaranya pada 1973.

Sebagai penolong pengurus dari 1973 hingga 1978, kariernya turut diserlahkan dengan kejayaan membantu Czechoslovakia menjuarai Euro 1976 selepas menewaskan Belanda dan Jerman Barat selain sebagai ketua jurulatih pasukan yang ke suku akhir Piala Dunia Itali 1990.

Lain-lain catatan sejarah gemilangnya termasuk selaku pengurus pertama bukan warga United Kingdom yang menyertai kelab utama England, Aston Villa pada 1990, Fenerbahce (1991-93) dan Slovakia (1993-1995), Oman (1996-1997) dan JEF United Ichihara Chiba, Jepun (2002).

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here